Rabu, 24 Ogos 2011

Kerjasama Air Asia-MAS Cermin Kegagalan ETP

Ditulis oleh Radzi Razak


PETALING JAYA : Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli menyatakan perjanjian kerjasama Air Asia dan MAS memberi isyarat dan ramalan awal kegagalan Pelan Transformasi EKonomi (ETP) buah fikiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Rafizi, kegagalan dua Pelan Pemulihan Perniagaan (BTP) MAS sebelum ini boleh dikaitkan dengan keghairahan Najib yang galak menggunakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memacu ETP dan pelbagai program lain.

Malah, Rafizi menambah perjanjian tersebut memperakui kenyataan tersirat pihak Khazanah Nasional Berhad bahawa kedua-dua Pelan Pemulihan Perniagaan (BTP) yang dilaksanakan sejak tahun 2006 di bawah pengawasan dua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) telah gagal.

Isu yang lebih penting adalah sama ada ini merupakan petunjuk awal bahawa Program Transformasi GLC juga gagal memandangkan pemulihan MAS dianggap sebagai petunjuk utama usaha berkaitan.

"Jika GLC amat penting kepada negara kita tapi pada masa sama Program Transformasi GLC juga gagal, itu satu petanda yang cukup tidak baik kepada polisi ekonomi kerajaan Najib," kata beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Awal bulan ini, Khazanah atas restu kerajaan telah menukar sebanyak 20.5% pegangan saham dalam MAS dengan 10% saham dalam AirAsia.

Bagaimanapun langkah ini menimbulkan kebimbangan kerana ia bakal mewujudkan 'kartel' yang memonopoli sektor penerbangan negara.

Pakatan rakyat sebelum ini telahpun membantah hal ini kerana ia berpotensi memangsakan rakyat jelata akibat tiada lagi persaingan dalam penerbangan domestik negara seperti sebelum ini.

Rafizi bagaimanapun mengutarakan perkara pokok dalam hal ini bahawa Malaysia, yang telah mempunyai sektor penerbangan sejak lebih 4 dekad masih tiada Dasar Pengangkutan Udara bagi memberi garis panduan sebenar berkenaan sistem ini.

"Yang membimbangkan kerajaan Malaysia tidak pernah ada dasar khusus yang mengamal dan menjalankan pengankutan udara seperti negara lain. Ini yang menyebabkan kebanyakan keputusan yang melibatkan ini dibuat secara sementara.

"Saya bagi contoh pada 2005-07 MAS tidak boleh menurunkan tambang mereka kerana tiada polisi. Kena tanya menteri...Sebab itu kita bimbang dengan perjanjian ini akan timbulkan monopoli," tegas beliau.

Justeru Rafizi mewakili PKR mahu hal ini dikaji semula bagi memastikan kepentingan negara terjamin kerana seperti yang diketahui Air Asia sebelum ini merupakan pesaing MAS dan ia bakal mendatangkan kesan berat sebelah selepas ini.

"Pendapat PKR dalam isu ini adalah MAS tak perlukan Air Asia dan Tony Fernandes. Apa yang MAS perlukan ialah kepimpinan yang kuat dengan pengetahuan mendalam
mengenai industri penerbangan dan bukan akauntan..sebaliknya kerajaan tubuhkan jawatankuasa interim dan COO sementara,"katanya lagi.

Tiada ulasan: