Khamis, 25 Ogos 2011

Jalan raya selesa untuk rakyat

Ini merangkumi pembinaan jalan raya termasuk jalan-jalan kecil bagi menghubungkan kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman dengan jalan utama.



KUCHING: Usaha mempertingkatkan jaringan jalan raya yang lebik di setiap kawasan penempatan Sarawak akan terus dipertingkatkan bagi memberi keselesaan kepada rakyat secara keseluruhannya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, Dato’ Sri MichaelManyin berkata, perancangan tersebut merangkumi pembinaan jalan raya termasuk jalan-jalan kecil bagi menghubungkan kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman dengan jalan utama.

“Membina lebuh raya baharu bukannya mudah kerana memerlukan perbelanjaan yang sangat besar, lebih-lebih lagi faktor geografi di negeri ini yang berbukit bukau.

“Lebih baik kita fokus kepada usaha menghubungkan setiap kampung dan rumah panjang terutama di kawasan terpencil dengan sekurang-kurangnya membina jalan kerikil untuk mereka terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ops Sikap ke-24 Peringkat Negeri Sarawak sempena Hari Raya Aidifitri yang turut dihadiri Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Mortadza Nazarene di sini.

Dalam pada itu, Manyin berkata, rancangan untuk menambah lorong memotong di sepanjang jalan utama dari Kuching ke Miri tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat kerana peruntukan berjumlah RM100 juta yang dipohon masih belum diluluskan.

Katanya, penambahan lorong memotong merupakan penyelesaian terbaik buntuk mengurangkan kadar kemalangan di sepanjang laluan tersebut kerana jauh lebih murah berbanding pembinaan lebuh raya baru yang menelan belanja sehingga RM15 bilion.

Mengenai cadangan pembinaan lebuh raya bertol pula, beliau berkata ia mustahil untuk dilaksanakan kerana jumlah pengguna di negeri ini yang sedikit di samping memiliki kawasan yang terlalu luas.

“Setakat ini kita mempunyai tiga tol bagi jambatan masing-masing di Kuching, Miri dan Sibu tetapi ketiga-tiganya sukar untuk pulang modal sedangkan pelaburan yang dibuat syarikat konsesi sangat besar,” katanya.

Tiada ulasan: