Isnin, 8 Ogos 2011

Isu Wahabi: Dr Uthman tolak pelawaan dialog Mufti Perlis


KUALA LUMPUR — Pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady telah menolak pelawaan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya agar diadakan satu dialog berhubungi isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi yang dikaitkan dengan soal fahaman Wahabi baru-baru ini.

Juanda menerima surat penolakan mengenai idea berdialog itu, yang dicadang diadakan ketika Ramadan sekarang, Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Juanda berkata beliau amat dukacita kerana Uthman, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah, telah mengambil pendirian menolak jemputan rasmi agar berdialog secara harmoni mengenai isu tersebut yang beliau bangkitkan pada satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua minggu lalu.

“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan ahli akademik takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi buta,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Jelas Juanda (gambar), isu itu amat penting dan mendesak untuk diselesaikan memandangkan umat Islam di Malaysia mempunyai kepentingan yang amat banyak dalam hubungan keagamaan, politik, ekonomi dan sosial dengan pihak Arab Saudi.

“Pihak di sana tentu tertanya tanya kenapakah mereka dituduh sedemikian rupa melalui premis rasmi kerajaan sedangkan kerrajaan Malaysia sering mewar-warkan mendapat kedudukan hubungan paling istimewa dengan Arab Saudi berbanding negara yang lain,” kata Juanda sambil menambah, beliau berharap Uthman tidak menolak ajakan berdialog begitu sahaja.

“Tak perlu dolak-dalik dengan banyak alasan. Kami sentiasa sedia menunggu beliau hadir untuk dialog ini untuk mendengar hujah-hujah beliau. Mereka yang dituduh juga ingin dengar tuduhan daripada mulut beliau sendiri terlebih lagi jika dialog ini diadakan di hadapan pihak mereka dan pihak lain yang terlibat agar mereka berpeluang menjelaskan kedudukan sebenar perkara yang dituduh itu, terutama kerajaan Arab Saudi,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, banyak pihak seperti Persatuan Ulama Malaysian dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengalu-alukan idea diadakan dialog harmoni agar perselisihan berkaitan hal ini dapat diselesaikan dengan baik.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider sebelum ini, Uthman yang dipanggil MKN untuk memberi taklimat mengenai Wahabi berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.

“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup... jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata beliau yang juga Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (Istac).

Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.

Dalam kenyataannya hari ini, Juanda menambah, tokoh tersebut “sepatutnya tidak berdolak-dalik” memandangkan dalam laporan media sebelum ini beliau bersetuju untuk menyertai dialog secara tertutup.

“... tetapi tiba-tiba datang surat rasmi beliau yang diterima Jumaat lalu, beliau pula menolak pelawaan itu dengan pelbagai alasan yang remeh dan tidak relevan seolah-olah menyalahkan pihak lain yang telah menafikan penglibatan mereka dalam kekecohan tuduhan yang bersifat jahat ini, yang boleh menggugat kepentingan negara Malaysia,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum telah pun menafikan dakwaan tersebut menerusi kenyataan media massa sebelum ini.

Sehubungan itu, Juanda berkata, Uthman mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan Arab Saudi yang beliau dakwa sesat dan bahaya serta ganas di mana beliau sendiri sudah cukup lama bertugas di Istac, yang mendapat banyak bantuan kewangan dan dana secara langsung dan tidak langsung daripada Riyadh.

Uthman juga kta beliau, merupakan penasihat Tabung Haji yang saban tahun pergi ke Arab Saudi mengerjakan haji dan umrah serta membimbing jemaah haji Malaysia tetapi tiba-tiba beliau menyatakan negara berkenaan sebagai menganut ajaran sesat dan suka mengganas dengan pihak lain.

“Umat Islam di Malaysia wajar didedahkan dengan semangat demokrasi terbuka yang memberi ruang kepada semua manusia membela diri secara terbuka dan bertamadun apabila dituduh dengan tuduhan yang amat tidak masuk akal akibat dangkalnya kajian dan penelitian pihak tertentu. Adalah amat malang bagi Malaysia jika mereka yang dirujuk ada kepentingan peribadi dan kecelaruan minda dalam menilai sesuatu perkara akibat kesan idea asal mereka yang sememangnya diketahui adalah masalah yang ramai pihak mengetahuinya.

“Zaman untuk menggunakan kuasa secara membabi buta tanpa sokongan perundangan dan keadilan sejati sudah berakhir. Pihak yang suka menyalahgunakan kuasa dan premis pihak berkuasa wajar disiasat apabila mereka didapati suka menghasut untuk mendatangkan ketidakstabilan dalam negara ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: