Jumaat, 5 Ogos 2011

Isu PR: Di Sabah sudah berlaku sejak 20 tahun- Dr Chong

Oleh: Nabihah Hamid

SABAH: Isu membabitkan status pemastautin tetap yang berada dalam senarai pemilih tambahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengulangi semula projek IC yang dikesan di Sabah sejak 20 tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan Aktivis Hak Asasi dan Masyarakat, Dr Chong Eng Leong yang telah menyelidiki mengenai isu projek IC di Sabah sejak lebih sedekad lalu.

Ketika dihubungi Keadilandaily, Dr Chong berkata beliau tidak merasa pelik dengan penipuan yang dilakukan bagi mengekalkan Kerajaan Umno-BN, dengan melaksanakan projek IC.

“Saya tidak terkejut jika perkara yang sama di Sabah akan berlaku di Semenanjung. Di Sabah sudah berlaku 20 tahun lagi kerana mereka (UMNO-BN) mahu kekal berkuasa,”

“Jadi sudah jelas mereka (UMNO-BN) yang takut akan kehilangan kuasa akan mengulangi perkara yang sama,” katanya yang juga bekas calon PBS dan pernah memfailkan petisyen pada Pilihan Raya Umum 1999 di Likas akibat penipuan undi.

Dr Chong sebelum ini antara individu yang membongkar Projek IC di Sabah- dikenali sebagai projek M- atau merujuk kepada projek Mahathir- dalam bukunya berjudul Lest we forget.

Projek IC di Sabah itu merupakan projek rahsia membabitkan beberapa parti politik termasuk agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

Menurut kajian Dr Chong, sehingga 2005, seramai 600,000 pendatang tanpa izin telah mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di Sabah bertujuan untuk memenangkan Umno-BN dalam pilihan raya.

Beliau juga membongkar bahawa projek IC itu bagi tujuan membawa masuk pendatang tanpa izin ketika Malaysia di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1980 an dan 1990 an.

Projek IC itu turut mengheret beberapa pegawai kerajaan, termasuk bekas Ketua Daerah Sandakan, Hassnar Ebrahim di bawah ISA kerana peranannya dalam projek berkenaan.

Dalam sebuah buku ditulis Mutalib MD, Hassnar mendedahkan pertemuan dijalankan di Kuala Lumpur membabitkan bekas Menteri Dalam Negeri, (Allahyarham) Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji dan Pengarah JPN Sabah waktu itu, Sani Adnan.

Kelmarin, negara dikejutkan dengan isu seorang individu pemegang status PR bernama Mismah kerana didaftar dalam senarai pemilih tambahan SPR.

Bagaimanapun, statusnya sebagai PR yang memegang My Kad PR berwarna merah dalam laman web JPN ditukar kira-kira empat jam selepas ia didedahkan laman portal Malaysiakini.

Susulan itu, Pakatan Rakyat mendakwa lebih 1,500 penduduk PR dikesan mendaftar dalam senarai pemilih tambahan dalam laman web SPR di seluruh negara dan menggesa kerajaan mengadakan satu sidang khas parlimen tergempar bagi membincangkan isu berkenaan kerana ia berkaitan dengan aspek keselamatan dan kedaulatan negara

Tiada ulasan: