Rabu, 24 Ogos 2011

Isu gereja: Nama Majlis Syura ditukar Jawatankuasa Pendengaran


KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk menukar nama Majlis Syura, yang ditubuhkan untuk menyelesaikan isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja, kepada Jawatankuasa Pendengaran ekoran teguran istana semalam.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor berkata, kerajaan negeri kesal dengan kekeliruan berhubung penggunaan nama Majlis Syura bagi jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mencari penyelesaian isu pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama 3 Ogos lalu.

“Justeru kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk mengubah nama jawatankuasa tersebut kepada Jawatankuasa Pendengaran demi mengelakkan sebarang pertindihan dengan Majlis Syura Negeri Selangor yang diterajui Mais (Majlis Agama Islam Selangor),” katanya.

Bagaimanapun katanya, matlamat asal, gerak kerja dan keahlian jawatankuasa tersebut tetap sama dan selaras dengan perbincangan antara Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan Sultan Selangor.

Kenyataan ringkas itu juga berkata, kerajaan negeri berharap perubahan nama yang diputuskan akan merungkai sebarang kekeliruan dan meneruskan segala usaha mencari penyelesaian berhubung isu gereja dan Jais bagi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri tetap akan akur kepada segala nasihat dan titah yang diterima secara langsung daripada Sultan Selangor serta bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan penyelesaian terbaik dalam isu ini,” katanya lagi.

Petang semalam, Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda melahirkan rasa terkejut dan murka dengan tindakan Menteri Besar yang mengatakan penubuhan Majlis Syura adalah atas titah baginda.

Mohamad Munir berkata dalam pertemuan minggu lalu Khalid hanya mengatakan mahu bertemu dengan pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama bagi mendapatkan penjelasan mengenai kontroversi pemeriksaan Jais awal bulan ini.

“Memang tuanku langsung tidak titahkan Menteri Besar menubuhkan Majlis Syura, itu sebab tuanku terkejut dan murka dengan apa yang berlaku.

“Tuanku tidak sebut apa-apa tentang Majlis Syura, saya sendiri tidak tahu macam mana Menteri Besar katakan tuanku titahkan, sekarang tuanku murka dan terkejut, dan suruh Menteri Besar perbetulkan semula kenyataan itu,” katanya.

Kelmarin, kerajaan negeri Selangor mengumumkan penubuhan Majlis Syura bagi menyelesaikan segala pertikaian yang berlaku dalam pemeriksaan Jais itu.

Jawatankuasa khas itu atau dikenali sebagai Majlis Syura — dianggotai Khalid, Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid dan timbalannya Datuk Abd Majid Omar.

“Idea penubuhan Majlis Penasihat Syura ini dicadangkan oleh Sultan Selangor ketika kami mengadakan perbincangan pada minggu lalu,” kata Khalid kelmarin.

Menurut Mohamad Munir pula, pada pertemuan minggu lepas Menteri Besar ada mencadangkan kepada Sultan Selangor untuk memanggil pihak gereja untuk mendapatkan maklumat dengan membawa mufti negeri.

“Tuanku kata tiada masalah dan tuanku minta bawa timbalan pengerusi sekali supaya dapat nasihatkan berhubung hal ehwal syariah. Itu sahaja, tuanku tiada sebut pun pasal Majlis Syura,” katanya.

Tambah Mohamad Munir, Majlis Syura tidak diperlukan kerana selain Jais negeri itu juga mempunyai Mais dan Jabatan Mufti.

Menurut Khalid kelmarin, Majlis Syura akan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk dibangunkan garis panduan demi memastikan sikap hormati-menghormati dan harmoni pelbagi kaum dan agama terus terpelihara.

Beliau juga berkata Majlis Syura akan mendapatkan maklumat daripada Jais dan penganjur majlis makan malam di gereja itu, Harapan Komuniti.

Majlis Syura juga akan mendengar dan meneliti sedalam-dalamnya laporan penuh Jais termasuk memeriksa maklumat, bukti dan pita rakaman mengenai pemeriksaan itu.

Tiada ulasan: