Selasa, 16 Ogos 2011

Isu gereja: 12 individu Islam beri Jais keterangan, hadir kaunseling


KUALA LUMPUR – Seramai 12 individu beragama Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibah di sebuah gereja dekat Petaling Jaya awal bulan ini memberi keterangan dan menerima kaunseling di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.

Pada 3 Ogos lalu kesemua mereka, tiga lelaki dan sembilan wanita telah diperiksa pegawai Jais ketika agensi itu melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

Kesemua mereka yang berusia antara 20-an dan 40-an tiba secara berperingkat di Bangunan Sultan Idris mulai 9.15 pagi hingga 1 tengah hari tadi.

Difahamkan proses mengambil keterangan dan kaunseling berakhir lewat petang tadi.

Menurut sumber The Malaysian Insider, kesemua individu itu telah dipanggil memberi keterangan selepas gagal berbuat demikian pada 9 Ogos lalu.

“Ya, 12 individu terbabit hadir dan memberikan keterangan kepada pihak Jais hari ini,” kata sumber itu.

“Mereka dipecahan ikut kumpulan kecil antara dua dan tiga orang semasa kaunseling diberikan oleh pegawai Jais dan Jabatan Mufti Selangor,” tambahnya.

Kata sumber itu lagi, sebahagian individu itu hadir bersama peguam masing-masing.

Difahamkan keterangan mereka direkodkan oleh pegawai Bahagian Pengurusan dan Penguatkuasaan Jais.

The Malaysian Insider difahamkan selain pegawai Jais, turut menghadiri sesi itu adalah Pengarah Jais Marzuki Hussin, Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar dan seorang peguam daripada Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 daripada 12 individu beragama Islam itu.

Kesemua individu itu disiasat di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tindakan Jais melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama mendapat bantahan banyak pihak.

Bagaimanapun Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan Jais atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” atau “pray” diselitkan.

Tiada ulasan: