Sabtu, 20 Ogos 2011

Harap p’raya bersih macam minta sisik ikan keli

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: “Nampaknya mengharapkan kerajaan BN melaksanakan pilihan raya secara bersih seperti meminta sisik daripada ikan keli,” ujar AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Justeru, katanya, seperti yang dijangka memang penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen hanyalah gimik untuk menutup lubang kelemahan daftar pemilih yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan jawatankuasa itu sebagai reaksi Pakatan Rakyat meminta beliau mengadakan sidang khas untuk membincang kepincangan dalam daftar pemilih.

“Tindakan Datuk Seri Najib seperti kita minta teh tetapi yang diberi ialah kopi,” kata Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, jika Najib jujur supaya perjalanan pilihan raya bersih dan telus, maka beliau akan menggunakan kuasa yang ada kepadanya untuk menangguhkan pilihan raya sehingga dipastikan daftar pemilih dapat dibersihkan.

“Sebaliknya, beliau menyatakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak terikat dengan sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang bakal ditubuhkan kerajaan,” ujarnya lagi.

Ketika bercakap kepada media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Najib berkata PRU 13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak terikat dengan sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang bakal ditubuhkan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, tarikh sebenar bila pilihan raya umum hendak diadakan tiada sebarang kaitan dengan jawatankuasa tersebut, walaupun ia ditubuhkan bagi tujuan menambah baik sistem pilihan raya agar tidak timbul syak wasangka.

Tiada ulasan: