Rabu, 10 Ogos 2011

Hakim: Anwar boleh hadir ketika peguam bela temu bual saksi




KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh hadir ketika sesi temu bual pasukan pembela ke atas saksi-saksi utama kes liwat beliau, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah memberitahu peguam pasukan pendakwa dan pembela bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat itu mempunyai hak untuk hadir ketika temu bual diadakan.

Bagaimanapun Anwar (gambar) tidak boleh melibatkan diri dalam proses menyoal saksi.

“Hakim bersetuju dengan kami bahawa Anwar ada hak untuk berada ketika temu bual diadakan,” kata peguam utama Anwar, Karpal Singh kepada pemberita di sini.

“(Tetapi) Anwar tidak boleh menyoal saksi. Beliau tidak boleh mengambil bahagian, tetapi boleh ada di sana,” kata seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair.

Hakim mengeluarkan arahan ini selepas temu bual terhadap dua saksi yang sepatutnya diadakan semalam dibatalkan selepas bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof membantah kehadiran Anwar.

Kelmarin, mahkamah membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Sri Rosmah Mansor, Musa, Rodwan dan 11 orang lagi.

Hakim turut menetapkan 15 hingga 26 Ogos bagi kes pembelaan. Pada mulanya mahkamah menetapkan 8 hingga 26 Ogos dengan Anwar dijadual sebagai saksi pertama memberi keterangan.

Di akhir kes mereka, pendakwaan menawarkan 71 saksi, termasuk Najib dan Rosmah. Pihak pembelaan memilih untuk menemu bual hanya 25 orang dan setakat ini, hanya lima orang yang telah pun ditemu bual.

Mereka ialah bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, Dr Mohd Osman Abd Hamid, yang sebelum ini bertugas di Pusrawi, adik perempuan bongsu Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang hanya dikenali sebagai Dr Daniel, dan Khairil Anaz Yusof, pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Tujuan temu bual ialah untuk menentukan sama ada saksi terbabit boleh memberikan keterangan menyokong pembela dan bukan untuk tertuduh hadir dan membandingkan nota dengan apa yang saksi akan berkata di mahkamah kemudian.

“DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berupaya untuk intimidasi saksi-saksi ketika sesi temu bual. Beliau berupaya untuk memberitahu saksi mengatakan apa yang beliau mahu ketika temu bual,” kata pendakwa raya dalam hujah dikemukakan kepada Mohd Zabidin.

Karpal mengesahkan, mereka akan menemu bual 10 saksi hari ini, tetapi tidak tahu bila Musa dan Rodhwan akan dipanggil oleh pendakwa raya agar mereka dapat hadir di mahkamah.

“Jika kesemua saksi tidak dapat disediakan kepada kami dalam masa yang ditetapkan, kami tidak tahu sama ada kami boleh meneruskan perbicaraan pada minggu depan.

“Kami tidak melengah-lengahkan. Saya tidak faham mengapa pendakwa mahu melengah-lengahkan perbicaraan,” kata Karpal.

Perbicaraan membabitkan peringkat membela diri oleh Anwar akan bermula Isnin ini.

Pada 16 Mei, mahkamah memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes itu, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, atas tuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun yang sama.

Tiada ulasan: