Jumaat, 12 Ogos 2011

Gejala murtad: GCM serah memo kepada Jais

Kebenaran dan kesahihan isu murtad ini wajar disebarkan secara meluas agar ianya dapat memberi kefahaman dan kesedaran kepada seluruh umat Islam.



SHAH ALAM: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan, Gerakan Cegah Murtad (GCM) hari ini menyerahkan memorandum sokongan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung tindakan mereka mencegah penganut Islam dari murtad.

GCM yang mewakili 25 badan bukan kerajaan (NGO) Islam Negeri Selangor mempertahankan tindakan Jais berlandaskan peruntukan undang-undang Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam.

Memorandum itu merujuk kepada kontroversi serbuan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, yang didakwa cuba memurtadkan segelintir umat Islam.

Menurut Jurucakap GCM, Hamidzun khairuddin, kebenaran dan kesahihan isu murtad ini wajar disebarkan secara meluas agar ianya dapat memberi kefahaman dan kesedaran kepada seluruh umat Islam.

“Jais harus bebas dari ancaman, ugutan dan tohmahan serta campur tangan politik. Isu agama terutamanya isu murtad adalah perkara wajar diurus secara profesional dan efisen,” katanya.

Ujar beliau, “kami rakyat Selangor menggesa pemimpin umat Islam tidak bertelagah sesama sendiri dalam menangani isu ini. Pemimpin

Umno, PAS serta pemimpin Islam dalam PKR wajib melihat isu ini merentasi ideologi, agenda

dan fahaman politik.

“Turut dikesali apabila Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) tunduk kepada tekanan politik DAP dan mengambil pendekatan menyalahkan Jais dalam isu ini,” katanya dalam sidang media di luar lobi Bangunan Jais selepas menyerahkan memorandum itu kepada

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Rais Rasid.

Menurut Hamidzun, umat Islam khususnya di Selangor dijemput menyertai demonstrasi aman esok di Masjid Negeri Shah Alam selepas solat Jumaat esok.

Manakala satu laporan polis akan dibuat serentak di seluruh Selangor, Selasa depan manakala satu memorandum sokongan kepada

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan disampaikan Jumaat minggu depan berhubung isu murtad ini.

Tiada ulasan: