Ahad, 7 Ogos 2011

Dari '?' kepada pencipta logo Keadilan

Nur Hanim Khairuddin


Pada kira-kira jam 9.45 malam, tanggal 30 Julai 2011, saya menerima pesanan ringkas daripada anak saudara Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal yang mengatakan bahawa tokoh seni rupa yang dihormati itu telah dijemput Ilahi.

Tergamam seketika, hanya kalimah "Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali" yang terdaya diucapkan.

seniman negara syed ahmad jamalWalau pilu, ada rasa kesyukuran yang melintas bila mengingat akan kenikmatan allahyarham berpulang pada saat-saat umat Islam bersedia melangkah ke bulan Ramadan Al-Mubarak.

Syed Ahmad Jamal lahir pada 19 September 1929 di Bandar Maharani, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah (1936-1938), sebelum ke Sekolah Tambatan Tinggi (1939), Ngee Heng English School (1940), Bukit Zahrah English School dan English College, Johor Bahru sehingga 1949.

Dengan bantuan biasiswa Sultan Ibrahim, beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Birmingham School of Architecture (1950) sebelum mengambil keputusan mengikuti pelajaran seni di Chelsea School of Art, London (1951-1955).

national art laureate 1995 datuk syed ahmad syed jamal diedBeliau menjadi guru di High School, Batu Pahat, Johor, dan bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur (1957). Peranannya sebagai pensyarah dilanjutkan di Malayan Teacher's College, Kirkby, United Kingdom (1958-1959) sebelum kembali semula mengajar di Maktab Perguruan Harian pada tahun 1960.

Beliau seterusnya berkhidmat sebagai ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras (1961-1963). Pada tahun 1963, beliau menerima biasiswa United States Department untuk melanjutkan pelajaran di School of Art Chicago, Amerika Syarikat.

Setahun selepas itu, beliau dilantik memegang jawatan Pengetua Maktab Perguruan Ilmu Khas sehingga 1972. Pada tahun 1973, beliau ditugaskan berkhidmat di Jabatan Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran.

R
espons visual pada 13 Mei


Pada tahun 1973, Syed Ahmad Jamal memperolehi biasiswa East-West Centre untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di University of Hawaii.

Sekembalinya ke tanahair, beliau menjadi pensyarah lawatan di Universiti Malaya sehingga 1979, sebelum dilantik menjadi pengarah di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya. Tugas rasmi terakhir beliau adalah sebagai Pengarah Balai Seni Lukis Negara bermula tahun1983 hingga1991.

Nama Syed Ahmad Jamal sememangnya tidak boleh dipadamkan dari susur masa persejarahan seni rupa Malaysia. Sumbangan beliau terhadap pembaharuan stail dan ideologi seni lukis negara sesungguhnya adalah sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh.

syed ahmad jamal work painting umpanDunia catan tanah air semenjak tahun 30-an hingga tahun 50-an didominasi gaya konvensional, Realis, Impresionis dan Ekspresionis. Pengaruh hasil kembara ilmu seni di luar negara mendorong Syed Ahmad Jamal berkarya stail Ekspresionis Abstrak dengan menggunakan idiom abstrak yang berasaskan kepada gerak isyarat (gestural) dan emotif. Dalam konteks Malaysia, beliau dianggap pelukis pertama yang menerokai catan non objektif melalui karya bertajuk "Umpan" (The Bait), sebuah karya agung yang dihasilkan pada tahun 1959.

Dalam karya ekspresi-emotif bersifat alegoris ini, pengaruh lukisan Cina, Barat serta khat Arabik jelas terpancar melalui sapuan deras berus yang melahirkan bentuk-bentuk kaligrafik mujarad. Penggunaan awal tulisan Jawi di dalam karya "Chairil Anwar" (1958) telah juga menjadikan Syed Ahmad Jamal sebagai pelopor seni lukis khat cat minyak atas kanvas.

syed ahmad jamal kubur kebumiPernyataan popular Syed Ahmad Jamal iaitu "kesenian Malaysia bermula sekarang!" merupakan indikator penting kepada sebuah era baru seni lukis moden Malaysia pada zaman itu.

Sebagai seorang seniman yang senantiasa mengambil sikap (sehingga ke akhir hayatnya), Syed Ahmad Jamal, walau dalam sosok fizikal yang kelihatan 'gentleman', tetap mempunyai pendirian teguh bila memperkatakan tentang isu-isu yang berlegar dalam sfera sosial dan politik negara mahupun dunia.

Kebangkitan pelajar dan pemberontakan tenaga buruh di Paris demi perubahan sosial sewaktu Revolusi Peranchis 1968, protes-protes pembantahan Perang Vietnam di merata dunia, termasuk peristiwa berdarah 13 Mei 1969 di Malaysia merupakan antara adegan-adegan utama yang menjentik naluri kesenimanan Syed Ahmad Jamal untuk memberi respons secara visual.

Sentuhan ruji


Dibikin menggunakan gaya Ekspressionis Abstrak yang menjadi sentuhan rujinya, dekad yang penuh kemelut ini dirakam dengan penuh simbolik melalui karya "Sidang Ruh" (1970).

Karya yang pertama kali dipamerkan sewaktu Manifestasi Dua Seni di Dewan Bahasa dan Pustaka ini terhasil berlandaskan puisi Sidang Ruh Kassim Ahmad.

I
perlu satusatu diperhitungkan kembali
hari ini kita dewasa
tanpa tuhan tanpa impian
kerana besok mungkin terlalu lewat
bagi kiamat yang telah ditangguhkan.

bukan aku sinis
kau jangan mengatheis
beritaku dari mereka yang lupa bagaimana untuk hidup
maka demikian perlu katakata
supaya maut kita jangan karena bisu.

kalau kau perchaya kepada manusia sejahtera
jangan kau bergembira mengikut hukum
(karena kemenangan)
kalau kau perchaya kepada manusia bebas
jangan kau berkata menurut hukum
(karena taatsetia)
karena tidak ada hukum yang akan berlaku
(namun digubal dalam pi bi bi)
yang tidak berperlembagaan di hati.

II
sudah datang berita yang paling kejam
bagi mereka yang lagi hidup karena bisu berharap
dunia ini penjara
nasi kita akan chukup di shorga.
di atas belakang Dajjal
telah diperdagangkan hidup
gerak dan hilai bukan karena bahagia
gelak dan hilai bukan karena papa.

akan bersidang segala ruh
anakmu hari ni makan apa
nasi atau beer
ketawanya palsu tangisnya tanpa suara.

III
nanti akan padamlah dengan sendirinya
lampu dari menara tinggi
karena di bawahnya orang kian mabuk
dan Tuhan sudah mati.

Sokongan moral pada keluarga Anwar


Penglibatan serius Syed Ahmad Jamal dalam memperkasakan dunia seni rupa tanahair boleh dilihat melalui pembabitan intensifnya bersama rakan-rakan seniman - antaranya Redza Piyadasa dan Ismail Zain - sewaktu Kongres Kebudayaan Kebangsaan (KKK) pada tahun 1971.

national art laureate 1995 datuk syed ahmad syed jamal diedKKK diatur pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah persekitaran yang kondusif untuk semangat muhibah pelbagai kaum, melalui pengstrukturan semula dasar-dasar kerajaan, demi menstabilkan keadaan sosial, ekonomi dan politik negara pasca peristiwa 13 Mei. Kongres tersebut membincangkan pelbagai isu nasional termasuklah bermacam perihal kesenian yang diusul Syed Ahmad Jamal dan Redza Piyadasa.

Pada tahun 1979, Seminar Akar-akar Peribumi dianjurkan Institut Teknologi MARA bagi menghidupkan kembali semangat seniman untuk berpegang kepada jatidiri tempatan. Rupa Jiwa (1979) yang muncul dalam bentuk pameran serta penerbitan merupakan sebuah lagi sumbangan besar hasil pengkajian Syed Ahmad Jamal tentang 'rupa' dan 'jiwa' Melayu.

Beliau terdorong untuk membuat kajian mendalam setelah tersedar bahawa terdapat hanya sebuah buku, iaitu Taman Indera oleh Tan Sri Mubin Sheppard, yang secara serius mengangkat estetika bentuk-bentuk kesenian Melayu pada waktu itu.

Antara hal-hal siasah negara yang begitu memberi impak kepada golongan seniman, termasuk Syed Ahmad Jamal, adalah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tampuk Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

reformasi 1998 270808 02Sebuah pameran tergempar yang diatur aktivis dan artis kontemporari Wong Hoy Cheong, melalui The APA-APA Arts Festival 98 kira-kira tiga minggu selepas insiden pemecatan tersebut, menjadi medan perhubungan solidariti sekitar 30 orang pelukis meluahkan protes secara visual.

Pameran seni visual multi-media dengan tajuk apa? siapa? kenapa? ini turut mendapat partisipasi Syed Ahmad Jamal, yang menampilkan karya akrilik atas kanvas bertajuk "?" (1998). Selama beberapa tahun selepas itu, beliau dan isteri dilihat sentiasa memberi sokongan moral kepada keluarga Anwar Ibrahim. Logo parti keADILan adalah rekaan beliau.

Di Malaysia secara amnya, bidang seni rupa masih dianggap tidak signifikan dalam proses pembangunan dan ketamadunan negara. Peranan pelukis tidak pernah digali potensinya. Dengan hal-hal sedemikian, tidak menjadi pelik sekiranya objek atau artefak seni kurang mendapat penghormatan yang sewajarnya dari segi nilai estetik, apa lagi nilai wahana kemasyarakatannya.

Menang saman DBKL

Mungkin kerana itu juga, walaupun berstatus seniman negara, beberapa buah karya Syed Ahmad Jamal menerima nasib sama bila mana mereka tidak dipulihara, dicacatkan mahupun dilupus terus. Tiga buah karya tersebut adalah mural songket yang ditempah pereka dalaman untuk Hotel Pan Pacific, karya stainless steel "Allah" di Bangunan Datuk Zainal Abidin dan sebuah lagi karya di Universiti Malaya.

NONESelain itu, sebuah arca awam bertajuk "Puncak Purnama" (1986) (kanan) telah mendapat nasib serupa bila mana ia diubah secara fizikal oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan membaikpulih.

Kali ini, Syed Ahmad Jamal tidak dapat bersabar lagi lalu bertindak menyaman Datuk Bandar dan DBKL sebanyak RM5 juta sebagai tuntutan bagi teladan dan gantirugi hakcipta. Pada 21 Mei 2010 bertempat di Tingkat 5 Mahkamah Dagang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dunia seni rupa Malaysia bersorak girang apabila kemenangan berpihak kepada Syed Ahmad Jamal.

Beliau dianugerah RM 750,000 oleh mahkamah. Walaupun jumlah tersebut akhirnya dikurangkan lagi atas rayuan pihak DBKL, apa yang penting adalah kemenangan dari segi moral. Bak kata beliau pada hari yang bersejarah itu:

NONE"This is a great day for artists. The victory is ours". (Ini hari bermakna untuk seniman. Kejayaan di pihak kita.)

(sila rujuk rakaman peristiwa oleh pelukis Kow Leong Kiang di Youtube.)

Peranan pelbagai sisi Syed Ahmad Jamal sebagai pelukis, pendidik, pentadbir, kurator dan penulis, yang merangkumi jangka waktu lebih setengah abad, sesungguhnya banyak meninggalkan kesan kepada keberadaan seni rupa moden mahupun seni kontemporari tanahair.

Logo Balai Seni Lukis Negara yang dicipta beliau, akan menjadi simbol yang sentiasa memperingatkan kita tentang jasa-jasa Syed Ahmad Jamal kepada dunia seni rupa Malaysia.

Rupa dan jiwa Bapa Seni Lukis Moden Malaysia ini akan saya pahat kemas dalam diari hati. Takziah kepada balu allahyarham, Datin Hamidah serta keluarga. Masih terngiang ungkapan perlahan beliau di rumahnya seusai majlis pengkebumian:"

"Hanim, I'm going to miss him so much".
(Hanim, saya akan merinduinya sungguh-sungguh.)

Begitu juga kami. Al-Fatihah.


Nur Hanim Khairuddin merupakan pelukis dan kurator bebas. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Tiada ulasan: