Jumaat, 12 Ogos 2011

DAP Mahu Nazri Disiasat Ikut Undang-undang Yang Penjarakan Anwar

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua menegaskan walaupun Datuk Nazri Abdul Aziz telah menjelaskan bahawa suratnya kepada syarikat kaitan kerajaan (GLC) supaya selesaikan saman mereka dengan bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli hanya satu "nasihat", namun DAP mahu menteri itu disiasat atas dakwaan salahguna kuasa dan rasuah di bawah undang-undang yang sama, yang memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

Tony Pua dalam satu kenyataanya berkata, beliau mendakwa ia merupakan satu kes yang jelas menteri menggunakan kedudukannya untuk secara tidak wajar mempengaruhi keputusan yang belum selesai di syarikat-syarikat tersebut.

Menurut Tony Pua, Nazri tidak ada urusan untuk memberi apa juga bentuk arahan kepada GLC kerana beliau bukan ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat tersebut yang dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan terbaik.

Justeru, pihak terbaik untuk menasihati lembaga pengarah syarikat berkenaan berhubung kes perundangan mereka adalah peguam mereka yang dilantik, yang menurut Pua, juga terkejut dengan arahan menteri tersebut.

Malah beliau turut menyifatkan arahan Nazri itu sebagai "memperolok-olokkan urus-tadbir korporat syarikat berkenaan", yang menurutnya hanya akan menjejaskan minat pelabur tempatan dan asing, yang tidak bertolak ansur dengan campurtangan terang-terangan kerajaan dalam perniagaan dan keputusan kewangan.

Tony Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata Nazri boleh disiasat di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No 22/1970.

Malah katanya, seksyen itu menyebut mana-mana anggota pentadbiran, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau mana-mana pegawai awam yang melakukan perbuatan rasuah boleh dihukum penjara 14 tahun atau denda 20,000 RM atau kedua-duanya."

Tiada ulasan: