Jumaat, 12 Ogos 2011

Cukai lapangan terbang naik, kadar bakal diumum

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR - Cukai lapangan terbang atau caj perkhidmatan penumpang akan dinaikkan dan pengendali lapangan terbang Malaysia, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dijangka membuat pengumuman tidak lama lagi.

Mengesahkan laporan yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kelulusan bagi kenaikan cukai lapangan terbang itu telah diberikan pada Februari 2009.

“Sebenarnya kita meluluskan kenaikan itu sejak Februari 2009 lagi.

“Tetapi ia tidak dilaksanakan kerana kami serahkan kepada MAHB untuk melaksanakannya dan membuat pengumuman sewajarnya,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“Kenaikan itu sebenarnya adalah sebahagian daripada perjanjian kendalian yang ditandatangani antara MAHB dengan Kementerian Pengangkutan pada 2009,” katanya.

Media melaporkan, MAHB mengambil keputusan untuk menaikkan cukai lapangan terbang untuk menampung kos kendalian yang semakin meningkat dan membiayai pembesaran lapangan terbang.

Juga dilaporkan bahawa MAHB mencadangkan supaya cukai di 39 lapangan terbang yang diuruskannya di negara ini, tidak termasuk terminal penerbangan tambang murah (LCCT), dinaikkan sebanyak RM14 bagi penumpang antarabangsa mulai 15 September.

Berikutan itu penumpang perlu membayar RM65 berbanding RM51 (RM45 bagi cukai lapangan terbang dan RM6 bagi caj keselamatan) sekarang.

Kenaikan sebelum ini adalah pada 2002, apabila caj itu dinaikkan kepada RM45 daripada RM40 bagi penumpang antarabangsa dan kepada RM6 daripada RM5 bagi penerbangan domestik.

Laporan itu juga berkata cukai di LCCT di Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mungkin juga dinaikkan sebanyak RM7, menjadikan cukai lapangan terbang meningkat sebanyak RM32 daripada RM25 sekarang bagi penumpang antarabangsa.

Pada Mei 2007, Kementerian Pengangkutan menurunkan cukai lapangan terbang di LCCT daripada RM51 kepada RM25 bagi penumpang antarabangsa dan daripada RM9 kepada RM6 bagi penumpang domestik.

Tiada ulasan: