Khamis, 18 Ogos 2011

BN punca semangat sambut merdeka pudar

SABAH DAILY

Tindak tanduk Kerajaan BN yang amat mengecewakan rakyat menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara semakin pudar dari setahun ke setahun.

Pada dasarnya, semua rakyat Malaysia pasti ingin merayakan sambutan kemerdekaan negara, tetapi kekecewaan rakyat terhadap tindakan Kerajaan BN menyebabkan rakyat tidak bersemangat untuk menzahirkan semangat patriotisme masing-masing menerusi sambutan perayaan hari yang amat bermakna itu bagi setiap warganegara ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keadaan itu agak berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat negara-negara lain di seluruh dunia, termasuk Indonesia, apabila tibanya bulan sambutan kemerdekaan negara masing-masing.

Menurut beliau, antara bukti kekurangan semangat rakyat negara ini untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara boleh dilihat dari kekurangan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah, kenderaan-kenderaan dan premis-premis masing-masing.

Katanya, keadaan yang tidak memberangsangkan itu pula ternyata semakin ketara dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi pada tahun ini apabila bulan Ramadhan yang lebih menguasai suasana.

"Kerajaan BN sepatutnya faham dengan reaksi rakyat itu dan patut bertindak bijak mengatasi masalah. Reaksi seperti itu sudah ditunjukkan oleh rakyat sejak beberapa tahun lalu.

"Antara kekecewaan rakyat dengan tindak tanduk Kerajaan BN termasuklah tindakan kerajaan yang amat mengecewakan dalam melaksanakan pilihanraya sehingga pilihanraya di negara kita tidak pernah bersih dan adil.

"Apabila rakyat memprotes dengan mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, Kerajaan BN mengarahkan pula pihak polis supaya berperang dengan rakyat yang berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang menyertai perhimpunan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sepatutnya, menurut beliau, kerajaan mendengar suara-suara yang baik dari rakyat kerana dengan itu barulah boleh diperbaiki segala kelemahan yang ada dalam kerajaan, tetapi tindakan Kerajaan BN ternyata sebaliknya.

"Itulah yang mengecewakan rakyat dan menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan turut berkurangan atau luntur dari setahun ke setahun, bukannya kerana rakyat negara ini sudah hilang rasa cinta dan sayangkan tanah air," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, keadaan itu diyakini akan berterusan selagi Kerajaan BN tidak berusaha mengatasi kekecewaan rakyat berhubung segala tindak tanduknya yang tidak disenangi itu.

Namun selagi Umno memerintah negara ini, beliau yakin, seluruh rakyat tidak akan berpeluang untuk menikmati keadaan lebih baik dalam negara ini kerana para pemimpin Umno BN tidak mungkin akan berusaha memperbaiki segala kepincangannya disebabkan kepentingan mereka sendiri untuk terus kekal berkuasa.

"Sekiranya Pakatan Rakyat yang memerintah negara dengan perubahan yang dijanjikan, kita yakin keadaan itu akan berubah dan rakyat pasti akan kembali bersemangat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara.

"Jadi kepada seluruh rakyat, saya harap jangan menjadi lemah untuk terus melakukan perubahan yang baik terhadap negara kita, walaupun dikecewakan, walau siapa pun yang memerintah negara," ujar beliau. -HD

Tiada ulasan: