Sabtu, 27 Ogos 2011

BN Gagal Tunai Janji PRK?

Oleh : HAFIZ JAMAIL (sabahkini)

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) membidas Barisan Nasional kerana gagal menunaikan semua janji yang dibuat pada Pilihanraya Kecil (PRK) Batu Sapi tahun lalu sehingga rakyat Batu Sapi yang terpedaya dengan sandiwara BN kini mengadu kepada PKR.

Timbalan Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Zainuddin Hassan membuat kenyataan demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa di Kampung Gas sambil menyerahkan sumbangan ikhlas kepada 30 orang warga tua yang menjadi pengundi Batu Sapi.

“BN dan Ahli Parlimen Batu Sapi patut malu kepada para pengundinya kerana tidak ada satupun projek yang dijanjikan semasa PRK berkenaan telah ditunaikan. Yang digembar-gemburkan hanya janji demi janji. Jangankan mau tunaikan janji PRK, janji mantan Ahli Parlimen pun belum selesai,” kata Zainuddin yang kesal kerana BN memaksa rakyat Batu Sapi memilih Ahli Parlimen yang tidak tahu bekerja.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar penduduk Batu Sapi jangan mengulangi kesilapan mereka memberikan kepercayaan kepada BN dan mengajak mereka mengkaji kejayaan Pakatan Rakyat di empat negeri di Semenanjung yang telah membuktikan kejujuran mereka membela rakyat.

Zainuddin menegaskan kini bukan masa untuk mengejar mimpi atau terus berkabung di atas kematian demokrasi di Sabah, sebaliknya menghidupkan perjuangan PKR yang ingin mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Turut hadir dan menjayakan majlis tersebut ialah Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Hassnar Ebrahim; Mantan Calon PRK Batu Sapi, Haji Ansari Abdullah; Ketua Cabang PKR Sandakan, Mazry.

Majlis yang diadakan di kediaman Naib Ketua Cabang, Aris Remigius, tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada kampung kerana dihadiri seramai 60 orang pengundi Batu Sapi yang sebelum ini tersilap mengundi calon BN di PRK Batu Sapi.

Di Majlis yang sama, Haji Ansari mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penduduk Batu Sapi; sekalipun mereka tidak mengundi beliau pada PRK berkenaan, namun penerimaan baik mereka terhadap agenda ‘Ketuanan Rakyat’ yang dibawa PKR telah sedikit sebanyak merubah minda penduduk Batu Sapi.

Tiada ulasan: