Rabu, 17 Ogos 2011

Bantuan untuk mangsa kemarau Pulau Bruit

"Apa yang merisaukan saya sekarang ialah keadaan murid-murid sekolah yang dikhuatiri meminum air yang tidak bersih," kata Adun Semop Abdullah Saidol.



KUCHING: Misi penghantaran bantuan bekalan air botol khususnya kepada murid-murid sekolah di sembilan buah kampung serta dua buah rumah panjang di kawasan utara Pulau Bruit yang menghadapi krisis ketiadaan bekalan air ekoran kemarau akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semop Abdullah Saidol berkata pihaknya kini dalam proses melakukan usaha seumpamanya dalam memastikan tahap kesihatan dan keselamatan murid-murid adalah terjamin.

“Apa yang merisaukan saya sekarang ialah keadaan murid-murid sekolah yang dikhuatiri meminum air yang tidak bersih atau tercemar dan ini akan menjejaskan kesihatan mereka. Oleh itu, saya sedang dalam proses menyumbang bekalan air botol terutama sekali untuk murid-murid sekolah di kampung terlibat.

“Antara lain, meskipun pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun membuat penghantaran air sejak awal minggu lepas, namun ia belum cukup lagi untuk memenuhi keperluan air di kampung-kampung tersebut,” katanya sebagai mengulas situasi terkini mengenai keadaan kemarau di Pulau Bruit.

Kelmarin, Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Hajah Norah Tun Abdul Rahman dipetik sebagai berkata lebih 5,000 penduduk di pulau berkenaan berdepan dengan masalah kekurangan air bersih akibat kemarau yang berpanjangan selama hampir dua bulan.

“Keadaan ketika ini amat kritikal dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib,” jelasnya.

Mengulas perkara sama, Abdullah Saidol memberitahu hari ini beliau dimaklum bahawa hanya bot-bot bersaiz sederhana dapat digunakan kerana keadaan muara sungai yang sempit dan muatan kargo air yang berat menjadi cabaran utama kerja penghantaraan itu.

Kadang-kadang kerja penghantaraan berkenaan juga terganggu disebabkan keadaan gelombang dan faktor cuaca, ujarnya.

“Saya baru mendapat maklumat dari beberapa kampung bahawa ada sedikit hujan berlaku awal pagi ini dan keadaan ini sekurang- kurangnya telah mengisi tong-tong air besar yang ada di setiap rumah di kampung-kampung tersebut.

“Apa yang pasti, pihak berkenaan sedang bersedia untuk melakukan penghantaran pusingan kedua dan ia melibatkan sembilan kampung dan dua rumah panjang,” katanya sambil menambah kerja penghantaran bantuan bekalan air itu akan memberi tumpuan terhadap kawasan yang tiada mengalami hujan langsung.

Rancangan jangka panjang

Ditanya mengenai rancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah kemarau atau krisis bekalan air di kawasan terbabit, Abdullah

Saidol menyatakan projek pemasangan paip sedang rancak dijalankan dalam memastikan kelangsungan bekalan air bersih di masa hadapan.

Sementara itu, penduduk di Pulau Bruit lega hujan lebat turun malam tadi yang mereka sifatkan sebagai ‘hujan emas’.

“Kami bersorak gembira sebaik sahaja hujan turun pada kira-kira jam 11 malam tadi,” kata Mohamad Junaidi, 45.

Sebelum itu katanya, beliau sekeluarga menggunakan sumber air dari hutan kerana air sungai masin.

Haji Mat Taki Haji Tahir memberitahu kebunnya terletak berhampiran Kampung Kut hampir musnah dijilat api sekam.

“Saya berasa lega sebaik sahaja hujan turun lebat semalam,” ujarnya.

Bagi Tahir Basri, 50, meskipun keadaan kini terkawal, “kerajaan patut menyediakan perkhidmatan bomba atau sekurang-kurangnya wujudkan pasukan bomba sukarela.

“Kita tidak mahu keadaan sekarang lebih teruk kemudian nanti. Meskipun ada pemantauan dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA3) ia belum mencukupi,” ujarnya.

Husin Rosli, 54, pula berpendapat kapasiti hujan mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk utara Pulau Bruit yang sekian lama menderita akibat kemarau.

Tiada ulasan: