Selasa, 16 Ogos 2011

Adun S’gor nafi arah MBPJ batal Operasi Sita DUMC

Nik Nazmi menafikan laporan yang disiarkan dalam blog Papa Gomo dan mendakwa ia dokumen palsu yang direka untuk memfitnah Pakatan Rakyat.



PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor hari ini menafikan wujudnya campurtangan pempimpin Pakatan Rakyat menghalang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) daripada menjalankan Operasi Sita ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), seperti yang didakwa penulis blog upahan Umno Papa Gomo.

Papa Gomo Sabtu lalu dalam blognya menyiarkan kononnya wujud satu dokumen sulit iaitu Laporan Operasi Sita DUMC oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ.

Laporan itu menyebut pada 11 Ogos lalu, Jabatan Penguatkuasaan menerima panggilan daripada beberapa Exco Selangor iaitu Teresa Kok, Elizabeth Wong dan Ronnie Liu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, serta Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad bertanya sama ada khabar angin untuk menyita DUMC itu benar sekaligus meminta supaya operasi itu dibatalkan.

Namun Nik Nazmi menafikan laporan yang disiarkan dalam blog tersebut dan mendakwa ia dokumen palsu yang direka untuk memfitnah Pakatan Rakyat.

“Bulan puasa tak elok buat fitnah, berdosa. Lebih baik jaga amalan dan jangan kacau orang lain,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Sementara itu, Elizabeth yang juga Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Pusat turut menafikan dirinya pernah membuat panggilan kepada MBPJ seperti yang dicatatkan dalam laporan terbabit dan menganggap ia adalah palsu.

Beliau berkata pihaknya mengambil berat tentang laporan terbabit kerana ia perbuatan memalsukan identiti seseorang dan menyifatkannya
sebagai perbuatan yang amat serius apabila membabitkan nama Adun dan Exco kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam masa terdekat.

Umno begitu terdesak

“Perbuatan ini menunjukkan betapa terdesaknya Umno memainkan isu sensitif sehingga

mampu menggugat ketenteraman awam.

“SKMM perlu menyiasat bagaimana perkara ini boleh berlaku secepat yang mungkin supaya kejadian yang sama tidak akan berulang,” katanya.

MBPJ pada Rabu minggu lalu menafikan mahu menjalankan operasi menyita DUMC atas dakwaan premis itu tidak pernah diluluskan sebagai rumah ibadat.

Walaupun mengakui premis itu tidak pernah diluluskan, Timbalan Datuk Bandar MBPJ Puasa Md Taib berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan DUMC itu disita.

DUMC menjadi tumpuan apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 3 Ogos lalu membuat pemeriksaan majlis makan malam dipremis tersebut.

Hasil pemeriksaan Jais mendapati wujud usaha penyebaran agama Kristian nterhadap 12 orang Islam yang turut serta dalam majlis itu, namun pihak DUMC menafikannya dan mendakwa ia adalah Majlis Kesyukuran dan Kutipan Amal Derma AIDS/HIV.

Tiada ulasan: