Khamis, 28 Julai 2011

Wahabi: Kami terbuka untuk dialog, kata Mufti Perlis kepada JPM, MKN


KUALA LUMPUR— Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempelawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan Perlis termasuk mereka di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar berdialog berhubung isu fahaman Wahabi yang terus hangat diperkatakan.

Laporan terbaru mengatakan bahawa amalan fahaman Wahabi boleh membawa kepada pemikiran radikal dan aktiviti pengganas.

“Kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan Perlis, kami sedia untuk berdialog . . . kami sedia berdialog dengan mana-mana pihak,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

“Mereka boleh berdialog dengan jawatankuasa fatwa negeri dan juga rakyat Perlis yang memang mencintakan keamanan dan kestabilan negara,” kata tokoh agama ini mengulas perkembangan terbaru berkaitan dengan isu Wahabi, yang dilaporkan menjadi fokus perbincangan dalam satu mesyuarat MKN Isnin lalu.

Juanda (gambar) berpendapat bahawa dialog yang dimaksudkan penting memandangkan Perlis sentiasa dikaitkan dengan amalan fahaman Wahabi.

“Tawaran ini, mahu berdialog ini sudah dipanjangkan oleh kepimpinan tertinggi negara tetapi tidak disambut, sebaliknya terus menjadi isu yang dibangkitkan pada pertemuan-pertemuan tertutup dan acara-acara rasmi kerajaan,” kata Juanda yang berharap agar tawaran kali ini akan disambut oleh pihak-pihak di JPM dan MKN.

Pada akhir 2009, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bertitah baginda dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang melabelkan Perlis sebagai negeri yang mengamalkan fahaman Wahabi.

Tuduhan itu sering dilemparkan termasuk melalui media massa dengan alasan Perlis tidak mengamalkan doa qunut semasa solat Subuh dan tidak berdoa beramai-ramai selepas solat untuk menidakkan amalan Sunnah yang diamalkan di negara ini.

“Sebagai Raja Perlis, saya amat dukacita dengan apa yang berlaku tersebut.

“Tak baiklah buat kenyataan dalam akhbar atau TV. Lebih wajar dibawa muzakarah.

“Kalau apa yang dibuat di Perlis tak ikut syarak, tunjuk nas-nas lengkap, Perlis sedia mengubah (dari apa yang diamalkan sekarang),” titah baginda.

Baginda bertitah, pihak-pihak berkenaan tersebut harus faham bahawa Perlis tidak terikat kepada mana-mana mazhab sebaliknya menerima semua mazhab.

“Kalau ada sesiapa yang tidak puas hati tentang apa yang diamalkan di Perlis, boleh tulis surat kepada Jabatan Mufti Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Majlis Fatwa Negeri untuk berbincang. Kalau perlu bahas kita bahas untuk mencari kebenaran. Hentikanlah tuduhan yang tidak sepatutnya kepada Perlis,” titah baginda.

Mengulas lanjut, Juanda tidak menyatakan nama secara spesifik tetapi dalam satu kenyataan semalam beliau meminta agar pihak berkuasa agar memberikan penjelasan segera mengenai keputusan mesyuarat Isnin lalu.

Katanya, beliau telah berhubung dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom tetapi belum ada penjelasan.

Dalam satu kenyataan kelmarin, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim juga telah menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu Wahabi dan kini dikaitkan dengan aktiviti pengganas diselesaikan buat selama-lamanya dan tidak terus dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu termasuk apa yang dilaporkan awal minggu ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mahu satu dialog diadakan bersama pihak-pihak yang dilabel sebagai pengamal dan pengikut fahaman Wahabi.

Shahidan sendiri pernah dikaitkan sebagai pengamal fahaman Wahabi.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai 'dikehendaki' dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu.

Bagaimanapun Shahidan sudah beberapa kali menafikan dakwaan sedemikian dan pernah mencabar pihak-pihak yang mempertikaikannya agar mengemukakan bukti.

Selain Shahidan dan Juanda pernah disenaraikan tahun lalu dan sebelum ini ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Berdasarkan maklumat terbaru Isnin lalu, sekitar 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu juga disebutkan dalam senarai “dikehendaki” pihak berkuasa.

Tiada ulasan: