Selasa, 19 Julai 2011

Tindakan Kedah wajar disokong semua pihak

Haralkahdaily


KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Negeri Kedah untuk membenarkan premis hiburan terus beroperasi di bulan Ramadhan dengan syarat pemilik-pemilik premis hiburan memastikan premis mereka tidak dikunjungi oleh orang Islam wajar disokong oleh semua pihak.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Cawangan Negeri Kedah, Ustaz Rosli Yusuf berkata, ia menggambarkan sifat Islam yang menghormati hak orang-orang bukan Islam sewaktu umat Islam berusaha untuk mempraktikkan ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian khususnya dalam bulan Ramadhan yang diberkati ini.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghormati keputusan Kerajaan Negeri Kedah yang telah mengambil kira kedudukan agama Islam, hak rakyat Kedah yang berbilang bangsa dan agama selagi ianya tidak bertentangan dengan landasan syarak.

“Ikram Negeri Kedah menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan keputusan Kerajaan Negeri Kedah ini yang hanya akan menjejaskan imej Islam dan penganutnya,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Berhubung isu itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS sentiasa konsisten dalam perjuangannya untuk Islam di negara ini sebagaimana yang terbukti dalam isu pusat hiburan di Kedah.

Katanya, ketika mahu laksanakan Islam, PAS juga mengambil kira hak orang bukan Islam.

Apa yang berlaku di Kedah, katanya, adalah kerajaan negeri Kedah memberikan hak kepada bukan Islam di samping meminta orang bukan Islam menghormati hak orang Islam.

Rosli menambah, Ikram juga mencadangkan supaya pengharaman ke atas orang Islam daripada mengunjungi tempat-tempat hiburan tidak dihadkan dalam bulan Ramadhan sahaja tetapi meliputi juga bulan-bulan yang lain.

“Sepatutnya peraturan ini dilaksanakan bukan sahaja di Negeri Kedah tetapi juga di negeri-negeri yang lain jika sekiranya aktiviti hiburan yang dijalankan adalah bertentangan dengan batasan syariah,” katanya.

Beliau berkata, perlu ditegaskan bahawa Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada semua, bukan satu agama yang menafikan hak orang lain apatah lagi bersifat diskriminatif.

Jelasnya lagi, Islam tidak akan mengambil satu jalan yang menindas mana-mana kelompok dalam masyarakat kerana ia bersikap adil dan menjamin semua pihak akan mendapat keadilan dan kesaksamaan.

Dalam pada itu, ujarnya Islam juga menimbangkan sesuatu perkara berdasarkan kepada keutamaan dan kemaslahatan umum.

Beliau menjelaskan, apabila bertembung di antara kemaslahatan ramai (majoriti) dan hak sebahagian masyarakat untuk memenuhi kehendak mereka, maka kemaslahatan ramai akan diutamakan mengatasi kehendak kelompok yang lebih kecil.

“Pertubuhan Ikram Negeri Kedah menyeru semua pihak supaya menghormati kedudukan agama Islam di negara ini dan kedudukan Sultan dan Raja sebagai ketua agama Islam serta tidak mempolitikkan isu ini bagi kepentingan mana-mana pihak,” katanya lagi.

Tiada ulasan: