Jumaat, 22 Julai 2011

Suruhanjaya: HH tiada ‘sentuhan’ dalam kematian Teoh, tapi perlu tanggungjawab

TERKINI

KUALA LUMPUR — Seorang pegawai kanan SPRM Selangor telah melancarkan operasi skala besar-besaran untuk menyiasat satu dakwaan salah guna dan hanya berdasarkan kepercayaan seorang pemberi maklumat, tanpa fakta-fakta sokongan, demikian menurut suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Dalam laporannya, suruhanjaya mendapati Hishammuddin Hashim (HH), pengarah SPRM Selangor ketika itu, terlibat dalam operasi rasuah terhadap seorang Adun DAP, yang membawa kepada kematian Teoh, yang didapati membunuh diri.

“Tiada bukti langsung yang boleh membuktikan bahawa HH ada sentuhan dalam kematian TBH (Teoh Beng Hock).

“Bagaimanapun sebagai seorang pegawai paling kanan yang terlibat dalam operasi, beliau harus bertanggungjawab ke atas tindakan yang diambil olehnya dan pegawai-pegawainya, yang membawa kepada TBH, dengan membunuh diri,” kata suruhanjaya ini lagi.

Dalam laporannya tambah suruhanjaya, pihaknya mendapati Hishammuddin sangat angkuh dan memberi maklumat tidak benar selain sikapnya yang tidak boleh berkompromi.

Suruhanjaya juga berkata Hishammuddin secara berterusan menafikan pembabitan aktifnya dalam operasi ketika kejadian.

Panel suruhanjaya berkata pihaknya mengetahui keadaan sebenar apabila dua pegawai Hishammuddin memaklumkan bahawa bekas pengarah SPRM Selangor itu yang mengeluarkan segala perintah dan mengarahkan pegawai-pegawainya siapa dan bagaimana perlu disoal siasat.

Hishammuddin kini merupakan pengarah SPRM Negeri Sembilan.

Kata suruhanjaya, pihaknya dari awal mendapati bahawa Hishammuddin yakin dengan kebenaran maklumat yang diperoleh.

“Bagaimanapun, dia sedar fakta bahawa maklumat itu bersandarkan kepercayaan bahawa Adun Selangor terbabit menerima wang daripada peruntukan tanpa adanya program-program dilaksanakan,” kata suruhanjaya.

Suruhanjaya juga berkata Hishammuddin yang ada 19 tahun pengalaman seharusnya telah berhati-hati memandangkan aduan yang dibuat adalah serius dan membabitkan kerajaan negeri Selangor.

Sebaliknya menurut suruhanjaya, daripada menjalankan kerja-kerja awal berdasarkan maklumat yang diterima, Hishammuddin menjalankan operasi besar-besaran.

Tiada ulasan: