Jumaat, 8 Julai 2011

Suhakam tegaskan Hak berhimpun dijamin perlembagaan

KEADILAN DAILY

Suruhanjaya Hak Asasi manusia sekali lagi menegaskan bahawa kebebasan berhimpun secara aman dijamin Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam juga mengulangi ingatan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat pula terkandung dalam Perkara 19 UDHR.


Justeru, Suhakam mengalu-alukan rundingan antara pihak berkuasa dan Bersih 2.0 berhubung perhimpunan aman yang dijangka diadakan di Stadium Merdeka, Sabtu ini.

“Suruhanjaya berharap agar resolusi awal berkenaan perkara ini dapat dicapai antara pihak berkuasa dan Bersih dalam semangat perdamaian, seperti yang dititahkan oleh baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong, dan akan memantau perhimpunan itu sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Suhakam juga menyatakan kebimbangan tentang penangkapan dan penahanan beberapa Ahli Parlimen serta aktivis Bersih baru-baru ini di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan menyeru pihak berkuasa untuk membebaskan mereka yang masih ditahan dengan segera.

Hasmy berkata, mereka seharusnya berhak mendapat perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam seperti yang disebut dalam Perkara 9, 10 dan 11 UDHR.

Badan itu juga menyatakan tiada sesiapa boleh dikenakan tangkapan secara sewenang-wenangnya; setiap orang adalah berhak mendapat perbicaraan adil dan terbuka; dan setiap orang berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Menurutnya, sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyokong standard tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak rakyat.

“Dalam perkara ini, Suruhanjaya telah berulangkali menyeru agar semua undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan dan mengulangi bahawasanya penahanan tanpa bicara adalah melanggar prinsip hak asasi manusia,” ujarnya.

Tiada ulasan: