Isnin, 25 Julai 2011

SPRM tubuh panel eksekutif transformasi susulan siasatan kes Teoh

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malausia (SPRM) menubuhkan satu Jawatankuasa Eksekutif Transformasi susulan syor dalam laporan suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian bekas setiausaha politik DAP Teoh Beng Hock yang diumumkan Khamis lalu.

Jawatankuasa itu, menurut SPRM, satu langkah proaktif akan bertanggungjawab dengan segera dalam meningkatkan prestasi kualiti, pentadbiran mekanisme penyeliaan, memantau dan melaksanakan reformasi struktur dan pengurusan SPRM, keberkesanan siasatan, memantapkan pencapaian fungsi operasi melalui pembangunan modal insan, memajukan keupayaan siasatan perakaunan forensik serta memperhalusi usaha-usaha yang sedia ada bagi mengesan sebarang kelemahan serta mengambil tindakan pemulihan segera bagi memacu ke arah peningkatan tahap kualiti operasi pihaknya.

“Selain itu, salah satu fungsi Jawatankuasa Eksekutif Transformasi ini adalah melihat, mengkaji semula dan melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian yang dicadangkan dalam laporan suruhanjaya diraja,” kata SPRM.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, SPRM berkata jawatankuasa tersebut juga akan melihat secara keseluruhan struktur dan mengkaji semula semua sistem dan prosedur operasi masa kini.

Ini kenyataan kedua dikeluarkan oleh SPRM ekoran pengumuman laporan suruhanjaya diraja.

Semalam, SPRM mengumumkan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk melucutkan tiga pegawai yang dinamakan oleh suruhanjaya itu dalam laporannya.

Memperincikkan langkah susulan ini, SPRM berkata Jawatankuasa Eksekutif Transformasi ini terdiri daripada empat orang pengurusan tertinggi SPRM, empat ahli jawatankuasa dan panel suruhanjaya serta dua orang pakar undang-undang termasuk seorang dari jawatankuasa yang sedia ada.

Jawatankuasa ini diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Ia turut dianggotai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Datuk Mohd Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme Datuk Zakaria Jaafar dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Datuk Sutinah Sutan dan ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Tan Sri Rashpal Singh.

Datuk Zamani Abdul Ghani iaitu ahli Panel Penilaian Operasi, Datuk Seri Azman Ujang (ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah) dan dua orang pakar perundangan iaitu Datuk Mohd Nor iaitu Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM) serta Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang merupakan bekas ahli Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes Teoh.

“Beberapa orang pakar dari dalam dan luar negara juga akan dibawa untuk membantu jawatankuasa ini menilai dan melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan,” kata SPRM.

Selain itu menurut SPRM, pihak Pemandu juga akan membantu Jawatankuasa Eksekutif Transformasi ini.

Tiada ulasan: