Jumaat, 1 Julai 2011

SPR: Sistem boleh kesan ‘pengundi hantu’ diguna mulai esok



Azmin mendakwa seramai 11 pengundi didaftar mengguna alamat rumah ibunya. — file pic


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan satu sistem pengesanan — yang dilihat boleh membantu mengatasi masalah kewujudan “pemilih hantu” yang didakwa wujud oleh sesetengah pihak.

Sistem yang akan diguna pakai mulai esok akan membolehkan seseorang pemilih yang sah memperoleh maklumat akan kewujudan lebih daripada seorang pemilih di alamat yang sama, khususnya mereka yang tiada kaitan atau hubungan dengan pemilik alamat mereka.

“Kita sudah ada satu satu sistem, akan digunakan mulai 1 Julai ini (esok),” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar pada sesi dialog forum makan tengah hari bertajuk “Tuntutan Bersih — Apa Penjelasan SPR?” anjuran Institut Perkembangan Minda (Inmind) di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika menyentuh dakwaan kewujudan pengundi-pengundi hantu yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali 19 Jun lalu.

Menurut Azmin, terdapat lima pengundi kaum Cina yang didaftarkan pada alamat rumah milik ibunya di Kampung Kelang Gate dekat sini, dalam bahagian pilihan raya Gombak.

Termasuk lima pengundi Cina itu, yang menurut Azmin, ada 11 pengundi yang menggunakan alamat rumah ibunya.

Wan Ahmad berkata, jika seseorang mengesan kewujudan pengundi yang tiada kaitan dengan alamat rumah mereka, pihak berkenaan boleh menghubungi SPR.

Azmin merupakan Ahli Parlimen Gombak.

Bagaimanapun beliau tidak memberi gambaran mengenai bilangan mereka yang terlibat dalam kes-kes seumpama itu.

“Ada ruang bagi mereka membuat aduan kepada SPR, dan kami akan mengambil tindakan,” katanya.

Wan Ahmad berkata berdasarkan aduan itu pihaknya akan menghubungi pengundi-pengundi yang tidak berkaitan itu dan jika benar dakwaan, mereka akan diminta berpindah ke alamat mengikut kad pengenalan masing-masing.

Ia akan dilakukan mengikut peraturan pendaftaran pemilih.

Bagaimanapun Wan Ahmad mengakui SPR tiada kuasa untuk memindahkan mereka mengikut budi bicara suruhanjaya.

“SPR tiada kuasa memindahkan mereka. Perlembagaan tidak membenarkan,” katanya sambil menambah, jika pengundi terbabit enggan berpindah, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa.

Tanpa mahu menuding jari ke atas mana-mana pihak, kata Wan Ahmad, pendaftaran pemilih atau menukar pemilih ke satu-satu alamat berlaku sebelum peraturan pendaftaran pemilih mengikut alamat kad pengenalan diperkenalkan pada 2002.

“Ini kes-kes yang berlaku pada tahun 1994, 1996,” katanya.

Tiada ulasan: