Isnin, 18 Julai 2011

SPR Perlu Teliti Mekanisme Pengundi Awal

Ditulis oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu meneliti mekanisma baru bagi membenarkan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara untuk turut serta mengundi pada pilihan raya umum menerusi sistem pengundian awal (Advance Voting).

Menurut ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, gesaan itu menurutnya berlandaskan bilangan lebih daripada 100 ribu rakyat Malaysia yang tidak berpeluang untuk pulang mengundi atas faktor komitmen di luar negara.

Bercakap pada wawacara khas bersama Tv Selangor, Maria menyahut baik saranan SPR untuk menghapuskan undi pos dan digantikan dengan pengundian awal, namun menyarankan agar suruhanjaya itu mengemukakan senarai layak mengundi.

"Cadangan daripada Bersih 2.0 ialah bagi kita lihat senarai siapa yang boleh mengundi dan menggunakan kaedah 'Advance Vote' kerana saya rasa bukan hanya tentera dan polis yang boleh mengundi sebegini," katanya.

Pada awal tahun ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya sedang mengkaji sistem yang dilaksanakan di beberapa negara rantau Asia Tenggara.

Katanya, fokus utama SPR adalah untuk menggantikan undi pos dengan menambah bilangan pengundi yang layak untuk mengundi dua hari lebih awal.

Namun menurut Maria, SPR perlu telus dalam melaksanakan kaedah tersebut memandangkan terdapat banyak bukti kepincangan sistem sedia ada sehingga menimbulkan syak wasangka di kalangan rakyat.

Beliau kemudian mengambil contoh negara Indonesia dan Thailand yang mempunyai jumlah pengundi lebih ramai berbanding Malaysia namun mampu melaksanakan sistem pengundian awal yang nyata memperlihatkan keberkesanannya.

"Kita perlu ada proses yang mana pengundi boleh pilih (undi awal atau hari pilihan raya). Ada orang yang pergi ke luar negeri untuk urusan perniagaan atau belajar, mereka harus ada peluang untuk pilih," tambah beliau lagi.

Beliau mencadangkan agar setiap kedutaan Malaysia di luar negara dijadikan tempat untuk proses pengundian awal sambil dipantau oleh wakil parti politik.

Walaupun setelah 2 minggu perhimpunan Bersih 2.0 menjadi perhatian dunia, SPR masih belum menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan jawatankuasa Bersih 2.0 mengenai lapan tuntutan yang dikemukakan oleh 62 badan bukan kerajaan itu.

Malah suruhanjaya itu berpendirian untuk mempertahankan pengaruhnya di bawah kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sekaligus mengenepikan peranan bertindak sebagai badan bebas yang dilantik Majlis Raja-Raja.

Kritikan berterusan masyarakat seluruh dunia termasuk Ratu Elizabeth, memberi gambaran bahawa SPR tidak mampu melaksanakan reformasi pilihan raya setelah berpegang kepada sistem itu lebih daripada setengah abad.

Maria kemudian berkata Bersih 2.0 akan tetap meneruskan momentum menuntut reformasi pilihan raya di negara ini dengan memberi masa tiga bulan kepada suruhanjaya itu memperbaiki sistem sedia ada menerusi tuntutan yang dikemukakan.

Setakat ini Bersih 2.0 telahpun melaksanakan program "Sabtu kuning" sebagai menunjukkan tanda gerakan itu masih berpegang kepada tuntutan yang dikemukakan pada 9 Julai lalu.

Tiada ulasan: