Sabtu, 23 Julai 2011

Siasatan awam Perhimpunan BERSIH 2.0: SUHAKAM minta bahan bukti daripada orang awam

MerdekaReview


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah memutuskan untuk mengadakan Siasatan Awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011. Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suruhanjaya Profesor Khaw Lake Tee dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Mahmood Zuhdi b. Abdul Majid dan Detta Samen.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Khaw Lake Tee (gambar kanan), terma rujukan siasatan awam ini adalah

1. Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011;

2. Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan

I. Bagaimana pelanggaran itu terjadi;
II. Apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut;
III. Individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.

3. Untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Menurut kenyataan, kuasa suruhanjaya untuk mengeluarkan Sapina kepada saksi Sapina akan dikeluarkan pada masa yang sesuai kepada saksi-saksi yang berkaitan termasuk orang awam, media dan pihak polis. "Kuasa ini adalah menurut seksyen 14 (1) (a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya untuk mendapat dan menerima segala keterangan, bertulis atau lisan, dan untuk memeriksa semua orang sebagai saksi sebagaimana yang Suruhanjaya merasa perlu atau patut diperoleh atau diperiksa."

Dengan itu, SUHAKAM memanggil penyerahan awam mengenai bukti dan maklumat berikutan dakwaan antara lain, penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak berkuasa sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011. "Orang awam yang telah menyaksikan sebarang perbuatan atau insiden mengenai dakwaan-dakwaan yang disebutkan, atau mereka yang boleh memberi maklumat yang berkaitan dan/atau dokumen serta bukti-bukti termasuk rakaman video/gambar mengenai dakwaan-dakwaan ini diminta menghubungi Suruhanjaya dengan segera."

Tarikh akhir untuk penyerahan awam adalah pada 2 Ogos 2011, dan orang awam boleh menghubungi Ameer Izyanif Hamzah atau Shahizad Sulaiman, dengan alamat SUHAKAM, Aras 13, Menara TH Perdana, 50250 Jalan Sultan Ismail, dan nombor telefon 03-2612 5669 / 5623; faks: 03 2612 5620 / 5694, dan emel kepada complaints@suhakam.org.my / humanrights@suhakam.org.my

Tiada ulasan: