Rabu, 27 Julai 2011

Semua pejabat SPRM dilengkapi VIR


PEGAWAI SPRM memberi penerangan kepada media sambil diperhatikan Mustafar Ali mengenai cara operasi bilik temu bual bervideo, di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA 26 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melengkapkan semua pejabatnya dengan bilik temu bual bervideo (VIR) menjelang akhir tahun ini, bagi memastikan proses soal siasat dijalankan secara telus dan tanpa paksaan.

Pengarah Siasatannya, Datuk Mustafar Ali berkata, sebanyak 36 buah VIR yang setiap satunya bernilai RM140,000 akan disediakan secara berperingkat di seluruh negara.

Beliau berkata, individu yang akan disoal di dalam VIR adalah termasuk orang kena tuduh, suspek dan juga saksi yang berkemungkinan belot.

"Pada masa ini SPRM hanya mempunyai enam VIR iaitu dua buah di ibu pejabat dan empat lagi di Perak, ia bagaimanapun akan diperluaskan ke semua pejabat menjelang akhir tahun ini.

"VIR ini dilengkapi dengan sistem visual dan audio canggih yang boleh merakam keadaan di dalam bilik secara jelas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mustafar berkata, VIR tersebut turut dilengkapi dengan paparan skrin yang menunjukkan masa, tarikh dan suhu bilik sekali gus mengelakkan daripada kandungan dalam video rakaman diubah.

"SPRM akan menyediakan tiga salinan rakaman video di mana salinan pertama akan disimpan oleh SPRM, salinan kedua disimpan untuk kegunaan mahkamah manakala salinan ketiga akan diberi kepada individu yang ditemu bual," katanya.

Beliau berkata, SPRM buat masa ini telah memberi latihan kepada 56 pegawainya untuk mengendalikan temu bual di VIR.

"Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong telah memberi input dan membantu memberi latihan mengenai penggunaan VIR," katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, pegawai SPRM masih mempunyai semangat kerja yang tinggi selepas kontroversi kematian Teoh Beng Hock yang disahkan membunuh diri selepas disoal siasat secara agresif.

"Semangat pegawai sentiasa tinggi dan kita akan terus melaksanakan kerja secara bebas, telus dan profesional, apa yang telah berlaku akan dijadikan pengajaran," katanya.

Tiada ulasan: