Jumaat, 15 Julai 2011

Semua Adun sokong pusat hiburan tutup bulan puasa

Harakahdaily


ALOR SETAR: Kesemua Adun Kedah, termasuk dari BN, telah memberikan sokongan sebulat suara terhadap cadangan kerajaan negeri untuk menutup semua pusat hiburan di negeri itu sepanjang bulan Ramadhan akan datang ini.

Turut memberikan sokongan dalam sidang itu adalah Adun Kota Darul Aman, Lee Guan Aik dari DAP, kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Helmi Khalid.

"Bahkan ketika itu, MB telah mengulangi pertanyaanya kepada semua ahli dewan kalau-kalau ada bantahan terhadap cadangan itu dan semua ahli bangun menyokongnya," kata Helmi kepada Harakahdaily.

Helmi mengulas bantahan segelintir peniaga Cina terutama yang terlibat dengan perniagaan pusat-pusat hiburan di Kedah yang membantah keputusan untuk menutup pusat hiburan di negeri itu sepanjang bulan Ramadhan ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya dasar baru.

Azizan berkata enakmen itu terpakai sejak Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.

Beliau berkata menurut enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Beliau berkata, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

“Permohonan itu pula perlu dikemukakan pada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan. Contohnya bulan Ogos kaum Cina mahu meraikan Hungry Ghost Festival, jadi mereka perlu mohon secara bertulis untuk pertimbangan,” katanya hari ini.

Semalam, beberapa pengusaha pusat hiburan Cina tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri tidak membenarkan lesen hiburan diperbaharui sepanjang Ramadan, dan mahukan penjelasan kerana mendakwa menanggung kerugian jika premis terpaksa ditutup selama sebulan.

Azizan berkata bagi pusat snuker dan kafe siber pula, pihaknya mungkin menyemaknya semula kerana ia bukan bentuk hiburan tetapi diletakkan di bawah kategori hiburan.

“Minta PBT (pihak berkuasa tempatan) perjelaskan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan hiburan. Dari dahulu lagi dalam bulan Ramadan, tidak ada aktiviti hiburan. Malah diadakan beberapa peraturan untuk bukan Islam mematuhinya,” katanya.

Sementara itu, Azizan berkata tiada masalah untuk kedai makan dan restoran Cina beroperasi sebelum pukul 3 petang pada bulan Ramadan kerana ia tidak terlibat dengan peraturan supaya beroperasi hanya selepas pukul 3 petang pada bulan Ramadan walaupun kedai Cina itu mungkin mempunyai pekerja yang beragama Islam.

Tiada ulasan: