Isnin, 4 Julai 2011

Selepas Beng Hock, focus beralih kepada inkues Sarbaini


KUALA LUMPURi — Sejak dua tahun lalu, kes kematian Teoh Beng Hock menjadi bahan perbualan ramai dan kini punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed yang meninggal dunia semasa berada di premis SPRM akan diketahui dalam inkues yang bermula hari ini.

Inkues ini dijadual akan berlangsung sehingga 15 Julai. Dan, jika diperlukan kemungkinan dilanjutkan tempoh sebagaimana disaksikan dalam beberapa inkues sebelum ini.

Selepas Suruhanjaya Diraja Siasatan menyiasat punca kematian Teoh, bekas setiausaha politik pemimpin DAP selesai, semua mata tertumpu kepada inkues Sarbaini.

Laporan Suruhanjaya Diraja Siasatan sudah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kini dinantikan sama ada ia akan didedahkan kepada orang ramai ataupun sebaliknya.

Dua kematian dalam tempoh dua tahun ini telah menjadi ujian kepada imej dan kredibiliti SPRM yang dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya tiga tahun lalu.

Teoh, 30, setiausaha politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.

Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM pada 6 April lalu setelah dikatakan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Dalam tempoh tiga bulan ini, banyak tanggapan dan adaian dilemparkan terhadap Sarbaini, malah ada juga yang mendakwa bapa kepada lima anak itu telah membunuh diri.

Inkues akan diadakan di Mahkamah Majistret 3 , Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ia akan didengar oleh koroner Aizatul Akmal Maharani.

“Sudah tentu kami harapkan agar inkues ini dapat membongkarkan perkara yang sebenar dan mencari punca kematian arwah tapi itu masih belum pasti kerana kami bimbang sekiranya ada usaha-usaha untuk melindungi sesuatu perkara,” kata anak sulung Sarbaini, Shahril, 27, kepada The Malaysian Insider.

Kata Shahril, harapan keluarga kini adalah mendapat keadilan selain membersihkan nama bapanya yang dicemari dengan pelbagai tuduhan.

“Itu harapan kita. Kita mahu tahu punca kematian dan keputusan inkues ini akan kita jadikan panduan untuk menentukan tindakan selanjutnya... kita tengok dulu sama ada ia memihak kepada kami atau tidak.

“Mak juga mahu tahu perkara sebenar dan dia akan menjadi saksi dalam prosiding inkues ini... apa yang kita nak tahu perlu dibongkarkan dalam inkues dan kita tidak mahu inkues ini dijadikan tempat untuk mencemarkan imej ayah dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, peguam keluarga Sarbaini, Ghazali Mohd Ramli berkata pihaknya akan menghantar dua peguam pemerhati untuk memantau perjalanan ikues itu.

“Saya akan dipanggil sebagai saksi dalam inkues, jadi bagi pihak keluarga dua peguam pemerhati akan hadir dan memantau perjalanan inkues sejak mula sampai tamat.

“Kita harap supaya inkues ini akan memberi jawapan tentang apa yang berlaku sebab keputusan inkues bergantung kepada keterangan saksi yang akan dipanggil termasuk daripada pihak keluarga,” katanya.

Lebih 40 orang telah diambil keterangan oleh polis dalam siasatan mereka.

Putrajaya memutuskan untuk memanggil suruhanjaya diraja selepas inkues kes Teoh berakhir dengan keputusan terbuka awal tahun ini.

Beberapa pihak meminta agar kerajaan mengadakan terus suruhanjaya berbanding inkues, tetapi pentadbiran Najib menegaskan bahawa undang-undang tidak memberi ruang kepada langkah itu.

Tiada ulasan: