Isnin, 25 Julai 2011

RTM mula siar video perhimpunan 9 Julai, kata Rais

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan video rakaman perhimpunan 9 Julai lalu secara berterusan bagi mendedahkan perkara sebenar yang telah berlaku, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim

Beliau berkata rakaman video yang mula disiarkan malam tadi perlu ditonton orang ramai yang inginkan jawapan kepada tohmahan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa pihak berkuasa bertindak zalim terhadap peserta perhimpunan haram itu.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia menonton RTM bagi melihat daripada segi sebenar dan tepatnya apa yang telah berlaku dan hakimkan sendiri apa yang telah dirakamkan itu,” katanya kepada pemberita selepas mengambil bahagian dalam pertandingan badminton persahabatan antara RTM dengan pasukan Datuk Seri Utama Rais Yatim di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, RTM akan menayangkan adegan-adegan sebenar perlakuan politik jalanan yang dilakukan pada hari berkenaan, sekali gus menjelaskan siapakah yang sebenarnya berbohong.

Semalam, polis berkata telah menyerahkan rakaman kepada RTM untuk tujuan siaran.

Ditanya sama ada rakaman video yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan diedarkan ke stesen televisyen lain, Rais berkata pihaknya akan berbuat demikian sekiranya PDRM memberikan persetujuan.

Tiada ulasan: