Khamis, 7 Julai 2011

Ribuan ikan mati di Sg Merbok BERNAMA


Beribu ekor ikan mati dengan bangkainya terdampar di sungai Merbok di Mukim Bagan Sena dekat Kulim, dipercayai akibat air sungai tercemar dan beracun.

Seorang penoreh Khalib Sudin, 62, berkata seperti biasa dia ke kebunnya yang terletak bersebelahan tebing Sungai Merbok, tiba-tiba terhidu seperti bau bangkai binatang.

"Apabila saya hampiri tebingnya baru saya sedar bau busuk itu datang daripada bau bangkai beribu ekor ikan yang mati dalam sungai tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kulim hari ini.

Katanya, dia memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan Razimi Ismail, 54, yang kemudiannya memanjangkan perkara itu kepada Pejabat Umno Bahagian Padang Serai.

Sementara itu, seorang penduduk yang sering mencari ikan di sungai berkenaan, Jamil Abdul Nasir Zakaria, 42, berkata pelbagai jenis ikan sungai seperti lampam, haruan, baung dan pucuk pisang terdapat di sungai ini dan apabila keadaan ini berlaku ia akan menjejaskan rezeki penduduk kampung di situ.

Katanya lebih 50 penduduk dari beberapa buah kampung berhampiran menjadikan sungai berkenaan sebagai punca rezeki.

Sementara itu, Setiausaha Umno Bahagian Padang Serai, Dr Mohd Zubib Saad berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Syarikat Air Darulaman Berhad (SADA).

"Aliran air Sungai Merbok ini akan mengalir ke sebuah loji penapisan milik SADA yang akan digunakan untuk bekalan air kepada pengguna sekitar dan sudah pasti jika bekalan airnya boleh menyebabkan ikan–ikan mati, bagaimana pula bila manusia menggunakanya," katanya.

Beliau berkata air yang tercemar di Sungai Merbok ini juga akan mengalir ke aliran Sunga Sedim dan seterusnya ke Sungai Muda yang merupakan nadi utama pembekal air di Kedah dan Pulau Pinang.

Selain itu, hampir 1,000 penduduk dari tiga buah kampung iaitu Kampung Bikan Ayat, Bikan Bawah dan Petani juga menjadikan air sungai berkenaan untuk kegunaan harian dan punca rezeki.

Tiada ulasan: