Jumaat, 1 Julai 2011

Rang undang-undang gaji minimum lulus

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan hari ini meskipun timbul kritikan daripada kalangan pembangkang bahawa ia tidak akan menjamin yang gaji minimum akan dilaksanakan.

Majlis itu akan berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan.

Ia juga akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar-pakar ekonomi, statistik dan sosial, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam (gambar) di Dewan Rakyat petang ini.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata gaji minimum akan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kuasa beli bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan seterusnya menangani isu kemiskinan di kalangan pekerja.

“Gaji minimum juga bagi mengelakkan eksploitasi majikan ke atas pekerja dalam keadaan majikan mudah mendapat bekalan pekerja asing yang sanggup menerima gaji rendah.

“Ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan bagi menggalakkan majikan meningkatkan rantaian nilai melalui pelaburan dalam teknologi tinggi dan peningkatan produktiviti pekerja,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, penetapan gaji bagi para pekerja sektor swasta di Malaysia ditentukan melalui tiga kaedah iaitu kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh serta Perjanjian Kolektif (CA) hasil rundingan antara kesatuan sekerja dengan pihak majikan.

Ketiga ialah melalui Majlis Penetapan Gaji (MPG) di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947.

Daripada ketiga-tiga kaedah tersebut, hanya gaji yang ditetapkan MPG merupakan gaji minimum.

Subramaniam berkata gaji yang ditentukan kuasa pasaran didapati tidak berkesan kerana berdasarkan kajian oleh Bank Dunia, kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6 peratus setahun, sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata Kajian Guna Tenaga Kebangsaan pada 2009 yang melibatkan sampel sebanyak 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja pula mendapati 33.8 peratus pekerja bergaji di bawah RM700 sebulan.

“Gaji minimum lebih banyak memberi kesan positif ke atas pembangunan sosio ekonomi negara-negara yang melaksanakannya seperti Amerika Syarikat, China, Perancis, Taiwan dan United Kingdom.

Beliau berkata menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Dr Subramaniam berkata majikan juga boleh dikehendaki membayar apa-apa perbezaan gaji pokok kepada pekerja yang didapati dibayar di bawah paras gaji minimum serta bayaran-bayaran berkaitan.

Bagi kesalahan berterusan, penalti dicadangkan adalah denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap kesalahan, sementara bagi kesalahan berulang penalti yang dicadangkan adalah denda RM20,000 maksimum atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi setiap kesalahan.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jadi berapa gini minimum yang akan ditetapkan?

Tanpa Nama berkata...

dan harap gaji minimum akan dilaksanakan secepat mungkin.

Judas berkata...

Pekerja asing pun ada gaji minimum? Kalau gaji yang diberikan tidak selaras dengan prestasi kerja, bagaimana?

Judas berkata...

Diaharap undang2 ini membawa kebaikan kepada pekerja dan majikan.

Tanpa Nama berkata...

ini perkembangan yang baik. harap gaji minimum akan dilaksanakan secepat mungkin.

Bujang Senang berkata...

Kita mengharapkan gaji minimum akan dapat dilaksanakan dengan cepat. Dengan keadaan sekarang mungkin rakyat yang berpendapat rendah agak tertekan.

Paquin berkata...

Jadi berapalah kunun gaji minimum???

Paquin berkata...

Tak sabar mahu tahu oo.. Aduii rasanya inilah perkembangan yang ditunggu-tunggu. hehe

Tanpa Nama berkata...

Hope that more details will be revealed soon.

evan medhousky berkata...

pembangkang tidak perlulah kritik usaha kerajaan ini. kalau takut pun sokongan rakyat akan beralih kepada kerajaan, tidak perlulah sampai menggagalkan sesuatu usaha baik dipihak kerajaan. carilah isu lain yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat..