Rabu, 27 Julai 2011

PRU-13: Bersih 2.0 tidak yakin biometrik kaedah efektif

TERKINI

SHAH ALAM — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (2.0) hari ini secara terbuka menerima apa sahaja sistem yang baik untuk pilihan raya tetapi menegaskan mahu penjelasan lanjut mengenai sistem biometrik yang akan digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevesan (gambar) berkata cadangan yang dikemukakan SPR itu boleh diterima sekiranya semua maklumat mengenai sistem itu dijelaskan secara terperinci kepada rakyat.

“Mengenai sistem biometrik, kami terbuka sistem yang bagus tapi SPR perlu jelaskan kepada rakyat dan kami juga bimbang adakah sistem ini akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 kerana saya jangkakan ia tidak boleh dilakukan kerana sistem baru ini memerlukan kajian, percubaan selain ia perlu dijelaskan kepada rakyat.

“Di pusat-pusat mengundi bagaimana sistem ini akan beroperasi? Sebab kalau nak guna sistem biometrik ia memerlukan data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), data yang berintgriti diperlukan agar rakyat boleh faham,” katanya pada wacana “Apa Selepas 9 Julai” anjuran Kumpulan Media Karangkraf di sini.

Tegas beliau, perkara yang paling dibimbangkan adalah sama ada sistem biometrik boleh menangani isu pengundi hantu, mengundi dua kali dan pengundi yang sudah meninggal dunia.

Kata Ambiga, sistem biometrik masih boleh dimanipulasikan memandangkan tiada jaminan ia boleh menyelesaikan isu-isu berbangkit.

“Pengundi hantu yang kami paling bimbangkan, pengundi mati (yang sudah meninggal dunia) juga ... adakah nama mereka ini dikeluarkan dari data JPN.

“Kita tidak mempunyai data yang boleh rekod sama ada pengundi itu masih hidup atau meninggal dunia, saya bimbang jika sistem biometri ini digunakan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya mahu dakwat kekal yang merupakan salah satu tuntutan Bersih 2.0 digunakan sehingga sistem biometrik terbukti telus.

“Kenapa tak guna dakwat kekal, ia kaedah paling mudah, murah dan efektif,” katanya.

Dalam pada itu, Ambiga turut mencadangkan kepada SPR agar menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk membincangkan semua isu yang berkaitan dengan sistem pilihan raya.

Kata Ambiga, jawatankuasa khas itu harus melibatkan wakil daripada parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membincangkan secara terperinci tentang masalah yang berlaku termasuk lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0.

“Adakah SPR sudah bersedia untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil parti politik dan NGO untuk melihat semua perkara tentang sistem pilihan raya.

“Kita boleh berikan jawatankuasa ini tempoh tiga bulan untuk membuat kajian secara terperinci dan selepas itu minta mereka bentangkan,” katanya.

Sementara itu Wan Ahmad yang menjawab soalan Ambiga berkata pihaknya terbuka menerima apa sahaja cadangan yang dikemukakan sebagai panduan.

“SPR terbuka kepada semua cadangan, kami akan jemput wakil-wakil parti politik ke SPR untuk membincangkan perkara ini dan juga NGO yang ikhlas.

“Perkara yang kita mahu bincangkan ini adalah isu besar kerana ia melibatkan undang-undang,” kata Wan Ahmad.

Selain itu kata beliau, semua pihak termasuk pemimpin parti politik perlu bersikap matang dan terbuka dalam membincangkan isu pilihan raya.

“Janganlah duduk di bawah tempurung, SPR mendengar semua ... sebab pelanggan kita banyak termasuk parti politik, betulkan dulu persepsi (terhadap SPR) kemudian baru boleh bincang soal pilihan raya,” katanya.

Tambah Ambiga, pihaknya juga mahu SPR mendedahkan sebarang pindaan dan perubahan yang dilakukan agensi itu kepada umum.

“Dedahkan pindaan itu, kita akan sokong SPR, apakah pindaan itu?” katanya.

Tiada ulasan: