Rabu, 27 Julai 2011

Polis belum putuskan permit perhimpunan anti-Taib

BERNAMA


Polis masih belum membuat sebarang keputusan terhadap permohonan oleh pertubuhan Movement For Change Sarawak (MoCS) untuk mengadakan perhimpunan "A Walk For Democracy and Reforms" di Kuching pada 13 Ogos nanti.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong, berkata ketika ini permohonan permit oleh MoCS masih dalam kajian dan keputusan mengenainya akan mengambil kira pelbagai faktor, seperti penganjurannya yang dirancang di bulan puasa, sentimen orang ramai dan keselamatan.

"Kami akan lihat kepada pelbagai aspek, tapi ketika ini kami masih mengkaji permohonan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah di Kuching hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila keputusan mengenai permohonan itu akan diberikan.

NONESebelum ini ketua MoCS, Francis Siah, dilaporkan berkata perhimpunan baju merah yang dirancang itu akan bermula sama ada di Padang Merdeka atau Tebingan Sungai Kuching sebelum berakhir di Reservoir Park atau dekat Muzium di Kuching.

Katanya, perhimpunan itu tidak bermotif politik kerana ia tidak pernah meminta sokongan dari mana-mana parti politik.

Rancangan MoCS itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa pihak, antaranya 24 pemimpin pemuda peringkat akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mendesak beliau membatalkann hasrat itu bagi menghormati bulan Ramadan, manakala Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menggambarkan ia sebagai usaha mengenepikan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada beliau dan BN untuk mentadbir negeri.


Tiada ulasan: