Selasa, 19 Julai 2011

Pensyarah, pelajar Kist bantu mangsa kemalangan

Harakahdaily


KOK LANAS: Satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan sebuah motosikal berlaku kira-kira jam 5.50 petang semalam di laluan Kota Baharu – Kuala Kerai mengakibatkan seorang penunggang motosikal mengalami cedera parah.

Kejadian berlaku di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.

Mangsa seorang warga emas yang ketika itu yang cuba memasuki lorong kanan tiba-tiba dirempuh dengan sebuah kenderaan Proton Saga berwarna merah yang dipandu dengan laju dan dengan memotong di laluan sebelah kiri menyebabkan kenderaannya gagal dikawal lalu merempuh mangsa.

Menurut Amin Zafri Abd Rahman, pensyarah perubatan daripada Kolej Islam Sains & Teknologi (Kist), beliau melihat mangsa melambung dan terhumban di atas cermin kereta sebelum jatuh di atas jalan raya.

Beliau kemudiannya meluru ke arah mangsa dan meletak motosikal menghalang laluan masuk ke lorong kanan untuk membantu mangsa.

Beliau mengalihkan mangsa yang masih bernyawa dan segera memberikan bantuan kecemasan.

Setelah diperiksa mangsa mengalami kepatahan tulang betis sebelah kanan dan kepala dengan perdarahan yang teruk.

Mangsa juga turut diselamatkan oleh seorang Pelajar Pembantu Perubatan daripada Kist yang secara kebetulan melalui jalan yang sama.

Menurut pelajar berkenaan yang dikenali sebagai Mohd Ridzuan Mohd Zin mengesyaki kemalangan mungkin berlaku kerana orang ramai berkumpul di jalan raya.

Dari jauh, beliau terkejut apabila melihat pensyarahnya berada di situ.

Beliau bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pensyarahnya sedang memberikan bantuan seorang diri.

Pelajar berkenaan kemudiannya membantu dan mangsa dapat distabilkan sebelum ambulans dari Klinik Kesihatan Pulai Condong tiba setengah jam kemudian.

Mangsa yang dikenali sebagai Ismail kemudiannya dibawa ke Hospital Macang untuk rawatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu bolehlah menghubungi Balai Polis Kok Lanas di talian 09-7888322.

Tiada ulasan: