Khamis, 21 Julai 2011

Pemuda Titiwangsa bersiap bagai ada p’raya kecil

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) bersiap sedia mengerahkan jentera pilihanraya Kawasan Titiwangsa bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata DPPKT menganggap kehilangan Dr. Lo’ Lo’ Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang telah pulang ke rahmatullah pada 17 Julai lalu tidak melunturkan semangat untuk pemuda PAS Titiwangsa dan ahli keseluruhannya bekerja sebaik mungkin bagi menghadapi PRU ke 13.

“Bagi DPPKT, persediaan jentera pilihan raya dibentuk dengan persiapan seolah-olah akan berlaku pilihanraya kecil di Parlimen Titiwangsa dalam masa terdekat meskipun hakikatnya tidak akan berlaku pilihan raya kecil selepas tempoh matang 3 tahun usia parlimen Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, ahli-ahli pemuda dan penyokong keseluruhannya terdorong untuk bekerja bagi mempertahankan parlimen Titiwangsa apabila menyaksikan kegigihan almarhumah Dr Lo’Lo’ semasa hayatnya dalam memberikan jasa bakti kepada segenap masyarakat tanpa mengira bangsa, warna kulit mahupun ideologi politik.

Justeru itu, tegasnya sebagai pemangkin semangat ini, DPPKT akan melancarkan jentera pilihan raya umum ke 13 serta pelancaran bilik gerakan pemuda, muslimat dan kawasan serentak.

Katanya, pelancaran itu akan dilaksanakan pada 24 Julai pada jam 1.00 tengah hari bertempat di Darul Ummah, Markaz PAS Kawasan Titiwangsa, Kampung Pandan dan akan disempurnakan oleh Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.

Selain itu, ujarnya DPPKT bersama PAS Kawasan Titiwangsa turut mengadakan Program ‘Ziarah Kasih’ iaitu program kebajikan berbentuk sumbangan kepada penduduk tempatan yang terdiri dari kalangan OKU, ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin, warga emas, sakit dan lain-lain kategori.

Program itu, katanya akan diadakan pada hari yang sama iaitu pada 24 Julai 2011 bermula jam 10.00 pagi di sekitar Parlimen Titiwangsa.

Justeru, DPPKT mengharapkan sumbangan ini mampu memberikan kelegaan hidup buat rakyat yang semakin terhimpit dengan kehidupan di ibu kota.

Bagi mempertahankan kemenangan PAS di Titiwangsa serta meneruskan sumbangan yang telah ditinggalkan oleh Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Ghazali, DPPKT mengharapkan sumbangan rakyat dan masyarakat bagi membiayai semua aktiviti yang dirancang.

Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa melalui Bank Islam Malaysia Berhad: 14041010075204.

Tiada ulasan: