Khamis, 14 Julai 2011

Pemuda PAS lancar Aduan Keganasan Polis 9/7

Pengarah Juham, Pemuda PAS mewajarkan usaha ini selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.



PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) telah melancarkan Aduan Keganasan Polis 9/7.

Pengarah Juham Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, usaha ini adalah susulan daripada aduan rasmi Juham kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kelmarin.

“Juham telah menyenaraikan tindakan-tindakan ganas pihak polis yang menumbuk, menendang, memijak, menembak gas pemedih mata secara dekat dan membuta-tuli.

“Ini termasuk aduan mengenai segala bentuk kekerasan yang sangat tidak munasabah serta tidak berperikemanusiaan terhadap peserta himpunan Bersih 2.0 yang hadir secara aman dan tidak bersenjata pada hari Sabtu, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Himpunan Bersih berlangsung pada 9 Julai di ibu kota Kuala Lumpur di mana lebih 50,000 pendemonstrasi cuba berarak ke Stadium Merdeka.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagaimanapun mengharamkan Bersih sebelum himpunan itu dan mengarahkan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya.

Polis menerusi Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah menghalang perarakan oleh peserta himpunan dengan memancut air asid biru dan menembak gas pemedih mata. Lebih 1,600 peserta Bersih ditahan.

Ekoran itu, Juham mahu mendapatkan kerjasama daripada anggota masyarakat untuk mengumpulkan maklumat berkenaan pencabulan hak asasi oleh pihak polis.

Aduan, bukti bergambar, rakaman video, laporan perubatan dan sebagainya boleh disalurkan melalui talian Hotline 016-3126463, 016- 3126473 dan 014-6451753.

Juham juga boleh dihubungi menerusi emel juhampusat@gmail.com dan laman peminat di laman web sosial Facebook ‘Jabatan Undang -undang dan Hak Asasi Manusia’.

“Rakyat harus diberi kesedaran tentang hak mereka di sisi undang-undang dan pihak berkuasa pula tidak boleh sewenang-wenang membelasah rakyat yang hanya melaksanakan hak mereka yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad.

Tiada ulasan: