Rabu, 13 Julai 2011

Peguam Raja Aziz Addruse meninggal dunia

Hafiz Yatim


Peguam tersohor dan dihormati ramai Raja Aziz Addruse meninggal dunia pada jam 1.20 petang tadi akibat penyakit barah.

raja aziz addruse interview judiciary crisis 060808 05Raja Aziz, 75, pernah menerajui Majlis Peguam sebanyak tiga kali iaitu pada 1976-1978, 1988-1989 dan 1992-1993.

Beliau juga terkenal kerana mewakli beberapa individu terkenal dalam kes mereka.

Antaranya termasuk kes liwat pertama membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, kes saman RHB terhadap pengasasnya Tan Sri Rashid Hussein dan mewakili bekas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra dalam petisyen ketiga yang difailkan baginda bagi mencabar keperlembagaan pemasyhuran anakanda sulungnya sebagai Sultan.

Jenazah allahyarham kini ditempatkan di kediamannya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas disolatkan.

Baru-baru ini, Raja Aziz, yang berasal dari Chemor, Perak, mendapatkan rawatan di Singapura kerana penyakit berkaitan kanser dan dilaporkan beransur pulih.

param cumaraswamy interview judiciary crisis 060808 01Sementara itu, Bernama yang menghubungi rakan rapat beliau Datuk Param Cumaraswamy berkata keadaan kesihatan Raja Aziz tiba-tiba merosot beberapa hari lalu dan beliau mengunjungi peguam terkenal itu dua hari lepas.

"Walaupun berkeadaan lemah, tapi beliau tetap bersemangat dan kami sempat berjenaka," kata Cumaraswamy.

Beliau berkata jenazah Raja Aziz akan disembahyangkan di Masjid Bukit Kiara sebelum waktu zohor esok dan akan disemadikan di tanah perkuburan berhampiran.

NONEPeguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang dihubungi Bernama berkata Raja Aziz adalah seorang insan yang berintegriti tinggi dan lelaki budiman yang sentiasa menghormati lawannya.

"Ada beberapa kali, beliau merujuk undang-undang kes yang tidak menggembirakan anak guamannya sendiri, tapi ia semata-mata bertujuan untuk membantu mahkamah membuat keputusan yang tepat," kata Mohamad Yusof.

Beliau berkata Raja Aziz dipandang tinggi dalam dunia guaman, terutama kerana sikap beliau yang amat bersopan-santun dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap lawan beliau.

Tiada ulasan: