Rabu, 20 Julai 2011

PAS Terengganu tolak hiburan melampau

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: PAS Terengganu tetap meneruskan tradisinya menyekat hiburan melampau di kalangan rakyat, terutama pada bulan Ramadhan, walaupun tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negeri.

Antara usaha yang akan dilakukan, termasuk dengan menghidupkan lagi aktiviti di markas-markas PAS di seluruh negeri dengan kegiatan keagamaan dan bercirikan keilmuan.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani (gambar) menjelaskan, semasa memerintah negeri dulu, PAS sememangnya mempunyai kuasa untuk menyekat hiburan melampau di negeri itu terutama pada bulan Ramadhan, dengan menguatkuasakan undang-undang larangan umat Islam memasuki pusat-pusat hiburan di seluruh negeri.

Menurut beliau, kini walaupun tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negeri, usaha menyekat rakyat agar tidak terlibat dengan hiburan melampau di negeri itu tetap diteruskan, walaupun dengan skop yang amat terhad.

Katanya, tumpuan PAS dalam hal itu, sesuai dengan kemampuan yang ada yang hanya sebagai pembangkang, terutama dengan menyuburkan aktiviti-aktiviti berfaedah kepada orang ramai di markas-markas PAS.

"Selain itu, PAS Terengganu akan melipatgandakan lagi usaha-usaha membuat kebajikan kepada orang ramai terutama kepada anak-anak yatim," katanya ketika menjawab soalan peserta pada majlis tazkirah di surau ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Usaha melaksanakan kerja-kerja kebajikan itu, menurut beliau, akan dilakukan secara berterusan sama ada pada bulan Ramadhan dan di luar Ramadhan, tetapi akan dilipatgandakan lagi sempena ketibaan bulan yang mulia itu.

"Dengan itu, ia pasti akan membolehkan sesiapa sahaja akan melihat keindahan ajaran Islam termasuk di kalangan mereka yang bukan Islam bagi menarik golongan bukan Islam kepada Islam," katanya.

Ketibaan bulan Ramadahan sepatutnya disambut oleh setiap umat Islam dengan peningkatan amal kepada Allah, namun dalam hubungan ini, beliau amat kesal apabila kerajaan Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak pernah mempedulikan perkara itu.

"Semua itu bergantung kepada niat seseorang. Apakah niat seseorang itu dalam menyambut ketibaan Ramadhan? Kepada Ali Rustam, yang dilihat ternyata hanyalah dari segi kebendaan.

"Untuk menarik pelancong, Ali Rustam sampaikan sanggup melanjutkan tempoh pembukaan pusat-pusat hiburan di negeri Melaka dari jam 1.00 pagi sehingga jam 3.00 pagi.

"Apa yang dilakukan oleh Ali Rustam itu ternyata merupakan sesuatu yang amat jahat kepada rakyatnya terutama kepada umat Islam kerana ia dengan jelas boleh merosakkan lagi moral rakyat termasuk umat Islam sendiri, di samping jelas tidak menghormati ketibaan bulan Ramdhan yang dimuliakan Allah," ujarnya.

Sebelum itu ketika menyampaikan tazkirahnya, beliau antara lain mengingatkan setiap umat Islam agar benar-benar berpegang dengan ajaran Allah dalam melakukan sebarang tindakan ketika hidup di dunia ini.

Dalam hubungan ini, beliau meminta umat Islam agar yakin dengan setiap ayat-ayat Allah yang terdapat di dalam Al-Quran kerana setiap ayat-ayat itu mempunyai hikmah yang tersendiri.

"Islam adalah agama yang maha sempurna dan maha indah. Di dalam Al-Quran sendiri sudah terdapat pelbagai ayat yang mempunyai hikmah tersendiri jika diamalkan yang melibatkan pelbagai bidang termasuk perubatan, perekonomian, politik, kenegaraan, kasih sayang, perlindungan diri, keluarga, masyarakat dan pelbagai aspek lain lagi.

"Jika kita amalkan dan yakin dengan ayat-ayat yang kita amalkan itu dengan dilengkapi keikhlasan kepada Allah, insya Allah semuanya pasti menjadi, termasuk untuk melepaskan diri dari halangan musuh," ujar beliau.

Antara contoh yang diberikan oleh beliau, termasuk penggunaan sebahagian ayat dalam surah Yaasin yang dibaca dan dihembuskan kepada pasir yang berada di dalam genggaman, boleh menyebabkan pihak musuh tidak sedar jika kita melalui di hadapan mereka.

Selain itu, beliau turut memberikan contoh sebahagian ayat yang terdapat dalam surah Yusuf yang boleh mengeratkan lagi kasih sayang antara suami isteri jika dibaca dan dihembuskan di belakang pasangan, termasuk di kalangan pasangan suami isteri yang bermasalah.

Tiada ulasan: