Rabu, 13 Julai 2011

PAS rakam takziah buat keluarga Raja Aziz

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addrusse yang meninggal dunia hari ini akibat barah.

Raja Aziz, 75, meninggal dunia di kediamannya di ibu negara jam 1.20 petang tadi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan allahyarham sebagai seorang peguam yang berintegriti dan banyak memberi sumbangan kepada sistem perundangan di Malaysia.

"Saya bagi pihak PAS mengucapkan takziah di atas pemergian beliau yang merupakan seorang peguam yang berintegriti dan banyak memberikan sumbangan kepada sistem perundangan di negara kita," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Allahyarham pernah menerajui Majlis Peguam sebanyak tiga kali iaitu pada 1976-1978, 1988-1989 dan 1992-1993.

Allahyarham juga terkenal kerana mewakili beberapa individu terkenal dalam kes mereka.

Antaranya termasuk kes liwat pertama membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, kes saman RHB terhadap pengasasnya Tan Sri Rashid Hussein dan mewakili bekas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra dalam petisyen ketiga yang difailkan baginda bagi mencabar keperlembagaan pemasyhuran anakanda sulungnya sebagai Sultan.

Jenazah allahyarham kini ditempatkan di kediamannya di Bukit Kenny dan dijadual dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas disolatkan.

Tiada ulasan: