Rabu, 6 Julai 2011

Nik Nazmi: Wardina ditohmah blogger murahan

MALAYSIA KINI

ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau kesal kerana kehadiran Wardina Safiyyah dalam satu program anjurannya dijadikan modal fitnah oleh penulis blog tertentu yang menyerang personaliti televisyen popular itu.

Nik Nazmi menjelaskan, beliau tidak berniat untuk meraih "spekulasi pihak tertentu yang tidak menghormati aktiviti kerajaan bukan BN" dengan menjemput pelakon dan model terkenal itu ke program Karnival Mesra Rakyat itu.

NONE"Kepada blogger-blogger yang menimbulkan fitnah dan tohmahan, hentikanlah menyerang Wardina semata-mata kerana prejudis politik mereka.

"Mari kita bertempur di gelanggang politik, sebagai orang politik tanpa perlu mengheret pihak-pihak lain.

"Kewibawaan Wardina sebagai ikon muslimah jauh berbanding blogger-blogger murahan tersebut yang mengambil pendekatan aib, fitnah dan tohmah," kata Nik Nazmi lagi yang turut memohon maaf kepada Wardina.

Isu berhubung kehadiran Wardina di program anjuran PKR pada 26 Jun lalu itu memuncak beberapa hari kemudian apabila gambar artis popular itu dimuatkan dalam laman web pro-Umno.

Laman web berkenaan antara lain turut membangkitkan mengenai keberanian Wardina dalam memperlihatkan sokongan terhadap PKR sedangkan beliau didakwa telah "dicurahkan dengan bayaran mewah oleh TV3."

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata keputusan mana-mana artis untuk hadir dalam apa jua program perlu dihormati tanpa mengira siapakah penganjur program berkenaan.

"Saya begitu sedih bagaimana program masyarakat sebegini boleh serta penglibatan seorang ikon bukan politik boleh disalahtafsirkan dalam suasana politik dangkal negara hari ini.

"Hairannya ikon atau artis yang menghadiri program anjuran kerajaan persekutuan mahupun BN secara langsung tidak dilayan seperti Wardina," katanya lagi.

Katanya lagi, beliau menjemput Wardina secara peribadi untuk hadir ke program berkenaan bagi menyampaikan ceramah motivasi berhubung isu keibubapaan.

"Wardina merupakan sahabat saya dan saya menganggapnya sebagai ikon muslimah muda yang mampu menarik masyarakat pelbagai kaum," kata Nik Nazmi lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: