Jumaat, 8 Julai 2011

Nazri Aziz: Patriot Pemuda Umno juga haram macam Bersih

TERKINI

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) mengesahkan “Patriot” yang digerakkan oleh Pemuda Umno juga sebuah pertubuhan haram seperti Bersih 2.0 dan sewajarnya tertakluk kepada tindakan ditahan polis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu The Malaysian Insider bahawa tidak akan ada pilih kasih dalam soal itu memandangkan kedua-dua kumpulan tersebut tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan.

“Sudah tentu mereka (Patriot) haram. (Peruntukan) undang-undang ini mudah. Di negara ini, jika anda mahu menubuhkan sebuah pertubuhan dan diiktiraf sebagai satu pertubuhan, anda kena mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan,” kata beliau ketika dihubungi.

Oleh kerana Patriot bukan merupakan badan yang didaftarkan, kata beliau, ahli-ahlinya sepatutnya sudah ditahan jika mereka telah mengadakan perhimpunan atau majlis di bawah nama itu.

“Polis boleh menahan mereka, ya. Tiada pilih kasih. Patriot bukan (badan) didaftarkan dan tidak boleh melakukan apa-apa di bawah namanya,” kata beliau.

Berkuat kuasa 1 Julai lalu, kerajaan telah mengharamkan Bersih 2.0 yang merupakan gabungan dianggotai 62 pertubuhan bukan kerajaan.

Lebih 200 orang telah ditahan kerana mengadakan aktiviti atau menyertai program anjuran Bersih 2.0 di seluruh negara sejak lebih dua minggu lalu.

Patriot Pemuda Umno merupakan kempen pihaknya mengadakan perhimpunan balas menentang Himpunan Bersih 2.0 esok.

Begitu juga Perkasa yang melancarkan Gerakan Aman 9 Julai.

Bersih 2.0 meskipun sudah diharamkan dan telah dilarang mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka, mereka bertekad meneruskan usaha mereka esok.

Tiada ulasan: