Khamis, 28 Julai 2011

Najib serah pada AG, polis tindak atas tiga pegawai SPRM

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA– Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kepada polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan ke atas tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan oleh laporan suruhanjaya diraja yang menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.

“Berkenaan dengan kedudukan tiga orang (pegawai) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja, terserah kepada SPRM dan polis mengadakan siasatan mereka dan bagi Peguam Negara menyiasat tindakan susulan,” kata beliau kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Online 1Malaysia pertama dengan pakar-pakar di pelbagai bidang di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Perdana Menteri (gambar) juga berkata cadangan dibuat oleh laporan suruhanjaya diraja itu tidak menjejaskan imej SPRM oleh kerana mereka bercakap mengenai individu berkenaan dan bukan pertubuhan itu secara keseluruhannya.

Kata Najib, SPRM kini melaksanakan tugas terbaiknya untuk menghapus rasuah, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Banyak cabaran yang perlu diatasi tetapi mereka beriltizam untuk melakukan usaha terbaik demi menentukan rasuah ditangani secara paling efektif di negara ini,” katanya.

Perdana Menteri menambah perubahan operasi akan dibuat kepada SPRM dari segi latihan di mana suruhanjaya diraja menyatakan bahawa latihan yang ada kurang lengkap.

“Jadi kita akan perkukuh latihan, kaedah soal siasat dan pengendalian saksi akan mematuhi garis panduan baru,” kata beliau.

Ahad lalu, Putrajaya memperakui Teoh, bekas setiausaha politik, tidak mati dua tahun lalu jika SPRM mematuhi prosedur-prosedur siasatan yang sewajarnya dengan betul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, beliau tetap bersetuju dengan cadangan suruhanjaya diraja kerana apa yang telah berlaku adalah satu kematian.

Pada sidang media Khamis lalu juga, Nazri berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Katanya, hasil siasatan suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

Tegas Nazri, kematian melibatkan Teoh tidak berlaku kalau sisatan dijalankan mengikut standard siasatan yang telah ditetapkan dan menepati piawaian yang memuaskan.

“Apabila berlaku keadaan macam ini kita kena teima hakikat bahwa ada perkara-perkara yang tidak patut dilakukan,” kata Nazri sambil menambah, “saya ingin mencadangkan supaya SPRM yang bekerja rapat dengan badan pencegahan rasuah di Hong Kong supaya mengikut cara mereka bekerja.”

“Dulu mereka belajar daripada kita, sekarang mereka berada di kedudukan nombor satu,” katanya lagi.

Nazri menambah, prosedur operasi standard (SOP) di Hong Kong mempunyai piawaian yang sangat tinggi dan SPRM seharusnya berunding dengan badan pencegahan rasuah berkenaan.

“Ikut dan contohilah mereka,” kata beliau.

Nazri juga berkata, kerajaan perlu mengakui bahawa sudah tentu ada kelemahan dalam sistem semasa.

Suruhanjaya siasatan terdiri daripada lima anggota diketuai oleh seorang hakim telah menjalankan prosiding siasatan selama 50 hari dan memanggil 70 saksi.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan

Tiada ulasan: