Sabtu, 16 Julai 2011

Muhyiddin: Malaysia sedia benar terbit Jawa Pos

THE MALAYSIAN INSIDER



SURABAYA — Kerajaan bersedia memberi kebenaran kepada syarikat media gergasi Indonesia, Kumpulan Jawa Pos untuk membuka operasi penerbitan akhbarnya di Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan bahawa beliau akan membantu syarikat itu jika ia berminat menerbitkan akhbar itu di Malaysia.

“Jika ada permohonan, saya boleh meminta Menteri untuk mengeluarkan permit penerbitan,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau menjawab pertanyaan salah seorang editor syarikat media itu mengenai kemungkinan Jawa Pos mengembangkan sayapnya ke Malaysia.

Pada masa ini akhbar milik syarikat itu dikirim ke Malaysia melalui pos untuk memenuhi permintaan sebilangan tenaga kerja Indonesia, yang sebahagian besarnya berasal dari Jawa Timur.

Muhyiddin (gambar) percaya syarikat akhbar itu mempunyai potensi untuk berkembang maju di Malaysia kerana pada masa ini ada kira-kira empat juta tenaga kerja Indonesia di Malaysia, termasuk dua juta daripada mereka yang masuk secara tidak sah.

Jawa Pos Group atau Jawa Pos National Network (JPNN) adalah rangkaian akhbar terbesar di Indonesia, dengan lebih 151 akhbar wilayah dan nasional.

Nielsen Media Research berkata akhbar kumpulan itu, Jawa Pos, yang berpangkalan di Surabaya, merupakan akhbar peneraju di Indonesia pada akhir 2009, dengan bilangan pembaca paling ramai.

Ia juga merupakan akhbar penyedia trend dan pemenang anugerah, dengan edaran harian lebih 1.4 juta naskhah.

Tiada ulasan: