Jumaat, 22 Julai 2011

Lynas: Badar mahu jumpa Adnan

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung isu kilang memproses nadir bumi (rare earth), Lynas Corporation Ltd.

Pertemuan ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada Adnan mengenai kenyataan beliau sebelum ini yang menyifatkan pihak yang menolak Lynas khususnya penduduk tempatan sebagai tidak rasional.

Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar (gambar) mempersoalkan kenyataan itu kerana menurutnya segala pandangan pihak yang menolak Lynas sedang diguna pakai oleh kerajaan dan Lynas yang dimiliki Australia itu.

"Kalau Adnan kata kita tak rasional kenapa pandangan-pandangan yang kita beri digunapakai oleh kerajaan termasuk Lynas sendiri?

"Setelah mendapat banyak bantahan dariapda penduduk, Lynas baru nak buka kilang dia untuk lawatan dan hari ini baru ada kesedaran di peringkat Jabatan Alam Sekitar untuk buat EIA (laporan alam sekitar) secara terperinci dan diedarkan kepada orang ramai," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Badar yang merupakan NGO di bawah lajnah pengguna mengadakan pertemuan dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang meluluskan pembinaan kilang tersebut.

MITI diwakili setiausahanya, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria dan turut bersama dalam pertemuan itu ialah Pengarah Lembaga Perlesenan Atom Negara Raja Abdul Aziz Raja Adnan selain wakil daripada JAS, Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), kementerian kesihatan dan beberapa agensi lagi.

Dalam pertemuan tersebut, Badar mempersoalkan beberapa perkara antaranya mengenai hubungan MITI dan MIDA sehingga tertubuhnya kilang Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng.

Mereka juga meminta MITI menjelaskan mengapa kelulusan membina kilang Lamp dikeluarkan pada 2007 sedangkan lesen pengilangan dikeluarkan oleh MITI pada 2008.

Selain itu Badar turut mempersoal tindakan MITI mengeluarkan kelulusan lesen pengilangan sebelum kelulusan laporan EIA dikeluarkan pada 2008.

"Masih banyak prosedur yang tidak jelas dalam pembinaan kilang ini yang sudah tentu akan menimbulkan pelbagai masalah terutamanya dari segi keselamatan penduduk berhampiran," katanya.

Sehubungan itu, Badar juga mengadakan pertemuan dengan Lajnah Guaman PAS bagi mengemukakan tindakan undang-undang bagi menyekat pembinaan kilang itu yang dikatakan sudah 65 peratus siap.

Menurutnya juga, tidak terlalu awal untuk pihaknya menaruh harapan untuk menang jika tindakan undang-undang diambil berdasarkan pengalaman kemenangan penduduk Semenyih, Negeri Sembilan yang membantah pembinaan insinerator bagi pelupusan sisa pepejal pada 2007.

"Saya melihat peluang untuk menang besar banyak prosedur yang tidak dipatuhi dan belum diikuti oleh Lynas seperti laporan EIA ataupun berkaiatn pembinaan kilang tidak lengkap," katanya yang merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting menbantah insinerator Broga.

Tambahnya, penduduk Balok, Kuantan akan dijadikan plaintif dalam afidavit yang akan difailkan.

Tiada ulasan: