Ahad, 3 Julai 2011

Lucut kerakyatan Ambiga, ‘sesuai’ di negara kuku besi

Oleh Norultul Ilham


KUALA LUMPUR: Cadangan Datuk Seri Ali Rustam untuk melucutkan kerakyatan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Datuk S Ambiga menunjukkan Ketua Menteri Melaka itu jahil Perlembagaan Negara, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

“Kenyataan itu menunjukkan beliau seorang yang ekstrim, fanatik, dan jahil dengan sistem Perlembagaan Negara.

“Ali tidak layak jadi Ketua Menteri di negara demokrasi kerana tidak tahu apa itu demokrasi. Perbuatan sedemikian hanya memalukan negara,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily, hari ini.

Justeru, beliau mengesyorkan Ali supaya membaca Perlembagaan dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan dangkal.

“Saya syorkan Ali Rustam baca Perlembagaan Negara. Melucut taraf warganegara seseorang tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Ambiga tidak pernah menyeru supaya mengadakan perhimpunan yang mendatangkan huru-hara. Pemimpin Barisan nasional (BN) dan polis yang sengaja buat tuduhan sebegitu.

“Lihat Bersih 2007, ia berlangsung aman sebelum polis membuat huru-hara,” kata beliau.

Surendran berkata, sikap Ali tidak ubah seperti pemerintah negara yang mengamal pemerintahan kuku besi.

“Sikap beliau yang tidak boleh terima kritikan daripada rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang, tidak patut berlaku di negara demokrasi,” katanya.

Tiada ulasan: