Sabtu, 16 Julai 2011

Lima lelaki Amerika Latin disyaki curi berlian di KLIA ditahan

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM— Lima lelaki rakyat Amerika Latin ditahan polis, dipercayai suspek dua kes curi berlian dan barangan kemas bernilai RM1.66 juta di kawasan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, mangsa dalam dua kes itu membabitkan enam lelaki dari Hong Kong merupakan pemilik barangan kemas dan berlian, yang baru selesai mengadakan pameran di Kuala Lumpur pada 7 hingga 10 Julai lalu.

Beliau berkata kes pertama berlaku pada kira-kira 8 pagi, 11 Julai lepas, ketika empat lelaki pemilik barangan berharga itu sedang menunggu masa untuk berlepas balik ke negara mereka dan singgah sebentar di sebuah tandas.

“Tiga daripada lelaki itu masuk ke dalam tandas manakala seorang rakan mereka menunggu di luar bersama tiga beg yang mengandungi barangan kemas dan berlian bernilai RM257,040 yang diletakkan di atas sebuah troli.

“Tiba-tiba datang seorang lelaki warganegara Amerika Latin menepuk bahu mangsa dan berpura-pura bertanyakan sesuatu, beberapa saat kemudian mangsa yang tidak faham dengan pertanyaan itu mendapati dua beg di atas troli telah hilang,” katanya dipetik Bernama Online.

Mohd Adnan berkata kes kedua berlaku pada kira-kira 8.45 pagi pada hari yang sama membabitkan seorang lelaki juga dari Hong Kong yang sedang menunggu rakannya yang memesan makanan di sebuah restoran makanan segera di Balai Berlepas KLIA.

Beliau berkata mangsa yang sedang duduk di restoran meletakkan dua bagasi berisi barangan kemas dan berlian bernilai RM1.4 juta di sebelah kirinya apabila secara tiba-tiba ditegur seorang wanita warganegara Amerika Latin menggunakan modus operandi yang sama dengan kes pertama.

Katanya, selang beberapa minit selepas wanita itu berlalu mangsa tersedar satu daripada bagasinya telah ditukar dengan beg lain yang mengandungi beberapa helai pakaian dan rambut palsu.

“Sebaik menerima laporan daripada kesemua mangsa, gerakan terus dijalankan dan polis berjaya menahan lima lelaki dipercayai anggota sindiket yang sama dan suspek bagi kedua-dua kes terbabit,” katanya.

Mohd Adnan berkata tangkapan pertama dilakukan pada 12 Julai kira-kira pukul 6.20 petang di depan sebuah pasar raya di Petaling Jaya membabitkan empat lelaki warganegara Amerika Latin berumur antara 25 dan 50 tahun yang menaiki kereta yang disewa oleh mereka.

Keesokannya, polis menahan seorang lelaki juga warganegara Amerika Latin berusia 32 tahun pada kira-kira 12.30 pagi di sebuah restoran di Sunway, katanya.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kesemua suspek dan beberapa lagi rakan mereka yang dipercayai terbabit dalam kes itu masih diburu. Sehingga kini polis belum menemui barangan curi terbabit,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan.

Tiada ulasan: