Ahad, 17 Julai 2011

Larangan: PAS dapatkan penjelasan Kedah esok

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS akan mendapatkan penjelasan dari kerajaan negeri Kedah esok, berhubung keputusan melarang pusat-pusat hiburan beroperasi semasa Ramadhan sebelum memberi sebarang reaksi berhubung perkara itu.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata wakil kepada menteri besar Kedah akan memberi penjelasan berhubung perkara itu kepada jawatankuasa pusat pada mesyuarat esok.

"Ya, esok kita akan mendapatkan penjelasan daripada Kedah. Menteri besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) tidak dapat hadir, tetapi wakil beliau akan hadir," katanya.

Rabu lalu, kerajaan negeri mengumumkan keputusannya menguatkuasakan larangan kepada pusat-pusat hiburan termasuk pusat karaoke dan disko beroperasi sepanjang Ramadan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Keputusan itu turut disokong beberapa NGO islam yang melihat tindakan itu wajar demi menjaga kecusian bulan Ramadhan.

Bagaimanapun, ia juga mendapat bantahan pelbagai pihak terutama parti politik seperti MCA dan Gerakan.

Malah, rakan Pakatan Rakyat, DAP meminta kerajaan Kedah supaya membatalkan pelaksanaan larangan ke atas 13 jenis hiburan semasa bulan Ramadan.

Dalam satu kenyataan, penasihatnya Lim Kit Siang berkata parti itu akan membangkitkan perkara itu pada mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat minggu hadapan.

Pemuda Gerakan Kedah juga mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Kedah jika ia gagal menarik balik larangan ke atas pusat-pusat hiburan untuk beroperasi di negeri itu dalam tempoh seminggu.

Tiada ulasan: