Khamis, 21 Julai 2011

KPDNKK Johor Rampas 51 Tan Minyak Masak

BERNAMA

JOHOR BARU: Pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 51 metrik tan bekalan minyak masak bersubsidi bernilai RM91,800 yang cuba dijual dalam pasaran terbuka dalam satu serbuan di sini, Rabu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Johor, Abdul Hamid Abu Bakar, berkata serbuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Puteri, Masai, itu pada 3 pagi mendapati minyak itu sedang dipindahkan ke dalam lori tangki.

"Jika dijual di pasaran terbuka, harga minyak masak itu mencecah RM153,000 di mana pihak tidak bertanggungjawab ini akan mendapat keuntungan sebanyak RM61,200," katanya kepada pemberita.

Abdul Hamid berkata bekalan minyak bersubsidi itu dipercayai diperoleh dari Kuantan, Lembah Klang dan Melaka.

Dua orang warga tempatan berusia 30an ditahan dalam serbuan itu.

"Kita sedang menyiasat siapa dalang penyelewengan minyak masak bersubsidi di kilang yang dipercayai telah beroperasi sejak lebih tiga bulan lalu itu," katanya.

Tiada ulasan: