Isnin, 4 Julai 2011

Ketakutan hilang kuasa punca bertindak huru hara

Salman Hussin


SRI GADING : Kemenangan yang semakin hampir kepada PAS dan Pakatan Rakyat sangat menakutkan pemimpin-pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) sebab itu mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kuasa mereka.

Mereka bukan sahaja memperalatkan semua agensi kerajaan untuk kepentingan mereka bahkan mereka juga sanggup membelakangkan amalan demokrasi yang jelas terkandung di dalam Perlembagaan Negara.

Demikian ditegaskan Naib Ketua Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Muhamad (gambar), di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, sokongan rakyat berbilang kaum yang semakin memberangsangkan kepada Pakatan Rakyat mutakhir ini amat menggusarkan pemimpin-pemimpin Umno-BN maka tidak hairanlah mereka melakukan apa sahaja untuk menghalang sokongan rakyat ini.

“Walau pun berbagai usaha serta tindakan tidak demokratik dilakukan namun mereka gagal untuk mengekang kebangkitan rakyat ini,” tegas beliau ketika merasmikan Seminar Maqasid Syari’ah, dekat sini, 3 Julai lalu.

Menurut Dr Mahfodz, sekatan serta tekanan yang dikenakan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat akhir-akhir ini menjadi bukti nyata bahawa mereka memang benar-benar dalam ketakutan sekarang ini.

“Kalau mereka tidak takut atau bersalah kenapa mesti memperalatkan pasukan keselamatan untuk berdepan dengan kita secara anak jantan di atas pentas politik,” soal beliau.

Tetap berhimpun

Menyentuh Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai ini, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, seterusnya menegaskan, walau pun berlaku halangan mengadakan ceramah serta beberapa tangkapan dilakukan polis ke atas aktivis dan pimpinan PAS di negeri ini, baru-baru ini, namun himpunan tersebut tetap akan diteruskan juga.

“Kita akan teruskan himpunan ini bahkan himpunan ini wajib dilakukan bagi menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan yang ada hari ini, justeru percayalah bahawa segala kesukaran dan halangan yang kita hadapi ini sebenarnya menjadi petanda awal kepada kemenangan yang akan memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat .”

Baru-baru ini beberapa aktivis PAS yang didakwa mempunyai kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0, telah ditahan polis, antara yang ditahan dan akan didakwa termasuklah AJK PAS negeri, Syed Othman Abdullah, seorang peniaga pasar malam di Tampoi Johor Bahru, Nurfaizah Palik serta dua orang peniaga pakaian di Batu Pahat, Nasharuddin Mohamad dan Shamsuddin Osman.

Syed Othman (gambar kanan) yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Kempas, didakwa kerana menyebut perkataan ‘Bersih’ ketika berceramah di Taman Rinting Masai, 18 Jun lalu.

Beliau yang ditahan setelah menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Seri Alam, 30 jun lalu, didakwa di bawah Seksyen 27(5) akta polis dan seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Nurfaizah pula ditahan ketika sedang berniaga air di pasar malam Taman Perling Tampoi, 26 Jun lalu, beliau ditahan kerana memiliki tiga risalah Bersih 2.0, berikutan itu rumah beliau turut digelidah polis bagi mencari saki baki risalah tersebut namun polis gagal menemui sebarang risalah di rumah beliau.

Beliau yang didakwa di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan dihadapkan di Mahkamah, pada 10 Julai ini.

Direman

Sementara peniaga pakaian terbabit, Nasharuddin, 28, dan Shamsuddin, 45, yang ditahan polis pada 2 Julai lalu telah direman tiga hari bermula 3-5 Julai bagi membantu siasatan polis berhubung baju T Bersih yang mereka jual.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah akta polis dan akta pertubuhan selain seksyen 188 kanun keseksaan.

Sementara itu Majlis Pelancaran Himpunan Bersih 2.0 Peringkat negeri ini pada 1 Julai lalu oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, di Kompleks Tarbiah PAS Parit Pecah Muar, tidak dapat dijalankan setelah polis bertindak mengepung kompleks tersebut seawal jam 3.00 petang.

Ratusan anggota polis termasuk FRU yang dikerah untuk menggagalkan program tersebut tidak membenarkan orang ramai memasuki kompleks tersebut, anggota FRU telah ditempatkan dipintu utama kompleks ini bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan ceramah.

Bagaimana pun ceramah oleh pimpinan PAS dan DAP terus diadakan, Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Muhamad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Dr Mohamad Taslim, telah menyampaikan ceramah pada majlis ini.

Selain itu tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya berhampiran kompleks ini juga menyebabkan berlaku kesesakan yang sangat teruk di kedua-dua hala, tindakan polis ini telah menimbulkan sungutan pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan ini.

Tiada ulasan: