Sabtu, 23 Julai 2011

Kes Teoh: Selangor tunggu nasihat peguam

THEMALAYSIAN INSIDER

BANTING – Kerajaan Selangor akan mendapatkan pandangan peguam sebelum melaksanakan peranan lebih proaktif berhubung hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap kematian pembantu politik Teoh Beng Hock.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata kerajaan negeri menunggu pendapat peguamnya, Malik Imtiaz Sarwar berikutan terbitan laporan suruhanjaya yang membuat kesimpulan bahawa Teoh membunuh diri dan terdesak melakukannya akibat soal siasat yang agresif dan tanpa henti oleh beberapa orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Suruhanjaya diraja itu telah menjalankan tugasnya, dan ada banyak isu teknikal yang perlu ditonjolkan agar jaminan dapat diberikan, terutama kepada rakyat Selangor, tentang betapa terperincinya hasil siasatan ini,” katanya dipetik Bernama Online.

Teoh, setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai, 2009, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Mengenai hal lain, Khalid berkata kerajaan negeri Selangor sedang menjalankan misi tinjauan fakta berhubung satu arahan setiausaha kerajaan negeri bahawa petugas awam negeri hanya boleh disoal siasat oleh SPRM di pejabat mereka masing-masing.

“Kami dalam proses mendapatkan fakta dan berharap laporan sepenuhnya dapat disiapkan dalam seminggu,” kata beliau.

Pekeliling berkenaan, ditandatangani oleh bekas setiausaha kerajaan negeri Datuk Ramli Mahmud, menyatakan, antara lain bahawa exco negeri Selangor, pada mesyuarat Julai 2009, memutuskan bahawa semua petugas yang berkhidmat di bawah pentadbiran negeri tidak dibenarkan diinterbiu oleh pegawai-pegawai SPRM di luar pejabat mereka, tetapi hanya di bangunan pejabat setiausaha kerajaan negeri.

Ia juga berkata semua pertemuan dengan pegawai-pegawai SPRM mesti dibuat antara 8 pagi dan 6.30 ptg.

Pekeliling itu menyebut bahawa keputusan exco itu termasuk memberi khidmat guaman kepada petugas awam bila mereka disoalsiasat oleh pegawai SPRM.

Pekeliling itu digubal selepas kematian Teoh.

Tiada ulasan: