Khamis, 21 Julai 2011

Kes tangkap pakai baju Bersih ditangguh 28 Julai

Khairil Abdul Rahim


KUANTAN: Kes melibatkan seorang peguam dan peniaga yang ditangkap di Rompin pada 2 Julai lalu kerana memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0 ditangguh kepada 28 Julai ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Fathiyah Idris, semalam menetapkan tarikh sebutan semula kes itu selepas mendengar hujah daripada peguam bela Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Abdul Manaf Md Hassan yang turut meminta tempoh masa berikutan terdapat isu berkaitan terhadap kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mohd Fadzli, 33, seorang peguam ialah AJK Pemuda PAS Pahang sementara Abdul Manaf Md Hassan, 41, merupakan AJK PAS Dun Tioman.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Hon Kai Ping dan Hisham Ramzan.

Hon berhujah, terdapat satu kes permohonan semakan di mahkamah Kuala Lumpur difailkan oleh Pengerusi Bersih 2.0 berhubung dengan perisytiharan Menteri Dalam Negeri bahawa Bersih merupakan pertubuhan tidak sah.

Oleh yang demikian Mahkamah Sesyen perlu mendengar terlebih dahulu keputusan tersebut kerana pendakwaan berkaitan Seksyen 47.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki pakaian yang tertera tulisan Bersih 2.0 dan menuntut pilihan raya bersih dan adil bagi kepentingan suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di markas PAS Kampung Mentara, Rompin, kira-kira jam 10.50 malam, 2 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Kedua-dua dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, perbicaraan kes itu semalam mendapat perhatian luar biasa dengan kehadiran ramai peguam tempatan dan dari luar. Terdapat ramai juga siswazah daripada kuliah undang-undang yang hadir.

Kehadiran kedua-dua tertuduh semalam turut mencuri perhatian apabila tampil dengan memakai baju-t berwarna kuning tetapi dengan logo “Kotor 13.0”.

Tiada ulasan: